Kali kedua terkesan disebabkan jerebu, saya akan jaga kesihatan untuk Konsert Gemilang Bersama MPO - Jaclyn Victor - Utusan Malaysia

Kali kedua terkesan disebabkan jerebu, saya akan jaga kesihatan untuk Konsert Gemilang Bersama MPO – Jaclyn Victor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Jaclyn Victor, mendedahkan keadaan jerebu yang melanda ketika ini menjejaskan suaranya buat kali kedua pada musim ini.

Jaclyn, 48, berkata, dia kini memilih untuk mengutamakan kesihatan supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada persiapan konsertnya itu.

“Saya rasa perkara utama bagi saya sekarang ialah jerebu dan kesihatan. Mungkin saya perlu memakai pelitup muka lagi kerana ini kali kedua saya terkesan dengan jerebu pada musim ini.

“Saya perlu mengutamakan kesihatan kerana saya juga sangat menantikan persembahan ini. Jadi, saya perlu memberikan fokus kepada kerja-kerja membabitkan lagu-lagu yang akan dipersembahkan nanti,” katanya.

Jaclyn berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa temu bual di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC, semalam.

Dalam pada itu, Jaclyn akui cabaran terbesar konsert kali ini adalah menyampaikan lagu opera Itali iaitu Time To Say Goodbye dan O mio babbino caro yang dicadangkan oleh pengarah muzik, Ahmad Muriz Che Rose.

“Abang Muriz selalu berkata dia benar-benar rasa saya patut melakukan sesuatu seperti itu. Saya suka mencuba walaupun saya mungkin tidak sempurna kerana saya bukan penyanyi klasikal.

“Pada mulanya saya fikir akan menyanyikan Time To Say Goodbye dalam bahasa Inggeris, tetapi tiba-tiba dia kata saya perlu melakukannya dalam bahasa Itali. Selepas itu, dia terinspirasi untuk memasukkan O mio bambino caro,” katanya.

Jaclyn berkata, menyanyi bersama orkestra penuh merupakan pengalaman yang menggerunkan kerana setiap kesilapan, termasuk ketika mengambil nafas, boleh didengari dengan jelas.

“Menyanyi dengan orkestra sangat menakutkan kerana tiada ruang untuk kesalahan. Salah ambil nafas pun boleh dengar, jadi saya perlu benar-benar fokus dan berdisiplin untuk bersedia,” katanya.

Konsert Gemilang bersama MPO itu dijangka menampilkan sekitar 20 lagu, dengan pemilihan karya mengambil sedikit masa memandangkan kebanyakan lagunya akan dipersembahkan bersama orkestra penuh yang turut disokong bahagian ritma seperti dram bagi memberikan susunan muzik yang lebih segar.

Jaclyn bukanlah nama asing dalam kalangan penonton MPO apabila pernah tampil sebagai penyanyi undangan menerusi konsert MPO bertemakan Aubrey Suwito & Friends pada 2017, Judika & The MPO (2019) dan The Magnificent Seven (2022).

Menerusi konsert ini, lagu popular Jaclyn akan diberikan nafas baharu menerusi susunan simfoni MPO, sekali gus menawarkan interpretasi segar terhadap karya seperti Gemilang, Ikut Rentakku, Di Bawah Pohon Asmara, Tiada Lagi Indah dan Beribu Sesalan.

Peminat turut berpeluang menghayati lagu seperti Tunggu Sekejap, When I Fall In Love, Superwoman, Diamonds Are Forever, Chong Bai, O Mio Babbino Caro dan Defying Gravity menerusi persembahan orkestra dengan gaya vokal tersendiri Jaclyn bersama MPO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×