KUALA LUMPUR: Komposer dan penerbit, Ajai mengambil segala kritikan terhadap lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang didakwa tidak setanding dengan versi asal dengan hati terbuka.
Menurut Ajai atau Mohd Faizal Maas, segala kritikan yang diterima mengenai lagu versi baharu yang dinyanyikan Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno bergantung kepada cita rasa pendengar.
“Pada saya, itu adalah hak mereka dalam menikmati hiburan. Dalam hiburan, ada orang yang mendengar dan suka, dan ada juga yang mendengar tetapi tidak suka.
Bagi saya, mereka yang tidak suka pun masih berada dalam ruang hiburan kerana mereka tetap memberikan perhatian dan bercakap mengenai perkara yang mereka tidak suka.
“Akhirnya, semuanya tetap kembali kepada hiburan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lagi dan muzik video Cinta Di Akhir Garisan 2.0, di sini, pada Khamis.
Dalam masa sama, dia juga tidak berkecil hati dengan pandangan sesetengah pihak yang tidak mendengar kemampuan empat penyanyi terbabit menerusi persembahan secara langsung.
“Saya tidak terasa hati. Mereka belum melihat sepenuhnya bagaimana penyanyi-penyanyi ini menyampaikan lagu tersebut secara langsung. Apabila mereka melihat sendiri persembahan secara langsung, mereka akan nampak kemampuan dan bakat sebenar setiap penyanyi.
“Daripada segi muzik pula, kami sudah menjelaskan mengapa versi ini perlu berbeza daripada versi yang dibawakan penyanyi terdahulu. Cara nyanyian dan kemahiran vokal generasi sekarang juga sudah berbeza,” jelasnya.
Mengulas perbandingan antara versi asal dan 2.0, Ajai berkata, dia tidak menafikan perbezaannya, namun enggan terlalu mengekalkan acuan terdahulu untuk karya yang diperbaharui kali ini.
“Kalau kita mengharapkan mereka menyanyi mengikut cara lama, dan cuba pula penyanyi lama menyanyi dengan cara baharu, mungkin mereka juga akan kelihatan janggal.
“Saya tidak kekalkan apa yang ada pada versi pertama untuk dibawa kepada nombor dua. Bagi saya, versi pertama sudah yang terbaik. Jadi sekarang saya mahu cipta yang terbaik untuk versi kedua,” kongsinya.
Tambah Ajai, empat penyanyi yang terbabit mempunyai kekuatan vokal tersendiri, malah yakin versi terbaharu kali ini disampaikan oleh mereka dengan sebaiknya.
“Generasi sekarang membesar dengan pelbagai bunyi dan mereka datang dengan runs serta vokal semula jadi. Saya rasa semakin lama, mereka akan semakin serasi dengan bunyi baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Ajai memaklumkan penghasilan Cinta Di Akhir Garisan 2.0 bukan bertujuan membandingkan penyanyi baharu dengan penyanyi asal, sebaliknya mahu mengembangkan lagi populariti lagu berkenaan.
“Saya banyak membaca komen dan ada yang kata mereka baru saya tahu lagu ini. Jadi, sedikit sebanyak ia membantu populariti penyanyi lama dan dalam masa sama membantu populariti penyanyi baharu.
“Daripada cebisan penyanyi lama dan cebisan penyanyi baharu, semuanya mendapat manfaat secara sama rata. Bila orang sudah tidak suka, bagi apa pun, jawapannya tetap tidak suka juga,” ujarnya.











