Bergelar bapa ubah kehidupan MK K-Clique - Utusan Malaysia

Bergelar bapa ubah kehidupan MK K-Clique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan pelakon, MK K-Clique mengakui kehidupannya banyak berubah selepas bergelar bapa kepada anak perempuannya, Aya Rayana yang kini berusia dua tahun.

MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, memiliki cahaya mata membuatkan dia semakin memahami besarnya tanggungjawab sebagai seorang bapa, selain perlu memastikan dirinya menjadi contoh yang baik terhadap anaknya.

“Saya rasa banyak yang berubah. Tanggungjawab pun sudah semakin besar dan dari segi kehidupan sendiri, saya perlu menjadi contoh yang baik kepada anak. Banyak perubahan yang berlaku dan saya sendiri masih berusaha untuk menjadi lebih baik.

“Saya sama seperti bapa-bapa lain di luar sana. Kita mahukan yang terbaik untuk anak dan keluarga. Sebagai seorang bapa, tanggungjawab itu berat. Bukan sekadar mencukupkan keperluan harian, tetapi banyak perkara lain termasuk dari segi ilmu.

“Saya sendiri perlu belajar lagi untuk mendidik anak dan membimbing keluarga. Pada masa sama, isteri juga banyak membantu dan memberikan nasihat kepada saya.

“Alhamdulillah, banyak perubahan berlaku dan saya masih berusaha untuk menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui di sidang media drama IQIYI Original, Sekali Lagi Bahagia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Pulang itu mengakui perubahan tersebut turut melibatkan gaya hidupnya apabila kini lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga.

“Dulu memang saya suka melepak dan bersama kawan-kawan. Tipulah kalau saya cakap saya duduk di rumah sahaja. Tetapi alhamdulillah, sekarang saya lebih suka berada di rumah sebab sudah ada keluarga.

“Saya mahu melihat anak saya membesar dan saya mahu menjadi seperti arwah bapa saya serta arwah bapa mentua saya. Saya juga mahu menjadi seorang bapa seperti mereka.

“Saya percaya bapa-bapa di luar sana mempunyai keinginan sama, iaitu mahu berubah menjadi lebih baik. Matang itu satu perkara, tetapi yang paling penting adalah menjadi lebih baik,” katanya.

Mengakui kehidupannya kini lebih fleksibel dari segi tuntutan kerja, MK bersyukur berpeluang untuk menyaksikan proses tumbesaran puteri kesayangannya.

“Saya diberi peluang oleh Allah untuk melihat dia membesar. Kerja lakonan saya sekarang tidak terlalu kerap seperti dahulu dan saya rasa semua itu adalah rancangan Allah.

“Kalau pergi ke set penggambaran, kadang-kadang kita keluar awal pagi dan tidak tahu pukul berapa akan pulang. Jadi, masa bersama anak menjadi terhad. Alhamdulillah, sekarang kerja tetap ada, tetapi Allah juga memberikan saya masa bersama keluarga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×