TULAR potongan klip drama Cela menunjukkan pelakon, Lisdawati sebagai ibu menangis kecewa selepas mengetahui anaknya, Kaer menjadi mangsa pengantunan seksual oleh majikannya sendiri.
Dalam drama tersebut, ibu bernama Asimah tidak berhenti menangis sambil menjerit ‘otak kau letak di mana?’ kerana terlalu kecewa mengenangkan anak ditatang bagai minyak yang penuh terjerumus dalam jurang hitam di depan matanya sendiri.
Walaupun Cela tidak sudah-sudah berhadapan kontroversi kerana dianggap drama lucah oleh segelintir pengguna media sosial yang buta seni, namun setidaknya, ia membuka sebuah perbahasan sihat tentang bagaimana ibu bapa perlu menguruskan anak-anak dalam kalangan mereka yang mengikuti drama itu setiap minggu.
Setiap zaman ada ujiannya, bagi pelakon, Lisdawati apa yang dipaparkan dalam drama ini menunjukkan kegusaran sebenar ibu bapa di era digital.
Perkara itu dialaminya sendiri Lisdawati atau Nisdawati Nazaruddin, 47, dalam pengalamannya membesarkan lapan orang anak.
“Saya memang pantau anak-anak saya kerana dunia sekarang ini, telefon sangat jahat. Saya mahu tahu apa yang mereka tengok di telefon. Seorang ibu kena ada masanya bertanya kepada anak-anak, tidak boleh lepas tangan sahaja.
“Kelebihan kita sebagai pelakon, kita boleh tahu bila seseorang itu menipu. Kadang anak-anak nak tipu pun tidak boleh sebab akan kantoi. Sama juga dengan akaun bank, saya tahu password mereka sebab kita yang bukakan akaun. Jadi saya juga tahu ke mana wang itu pergi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, kongsi Lisdawati, perhatian lebih banyak diberikan kepada anak perempuan lebih-lebih lagi mengingatkan mereka untuk menjaga aurat selain mengambil tahu dengan siapa anak-anaknya keluar.
“Saya ingatkan anak perempuan tidak boleh buat panggilan video tanpa hijab. Kalau nak keluar dengan kawan, saya akan tanya siapa. Lebih baik kalau kita ambil tahu siapa ibu bapa kawan-kawan anak kita.
“Saya tidak pernah paksa mereka, tapi saya akan jelaskan kepada anak-anak mengapa seorang ibu perlu untuk ambil kisah dengan siapa anaknya berkawan. Saya juga pastikan anak-anak tahu mengapa nasihat itu saya berikan kepada mereka,” katanya.
Tambah pelakon KL Menjerit itu lagi, entah mengapa banyak orang menyangka tindakan seorang ibu mengambil tahu perihal kehidupan anak dilabel sebagai mengongkong sedangkan dia tidak pernah melarang anak-anak untuk membuat keputusan masing-masing.
Bukan itu sahaja, sebagai seorang ibu, Lisdawati berpendapat ramai ibu bapa gagal membangun hubungan akrab dengan anak-anak kerana sikap mudah melenting sekiranya anak mereka berkata jujur tentang sesuatu perkara yang mungkin tidak sesuai dengan harapan ibu ayah.
“Alasan anak-anak kita tak berani jujur sebab mak ayah suka melenting atau mengamuk. Dalam drama Cela juga menunjukkan sebuah kritik terhadap ibu yang tidak beri peluang kepada anak selepas kantoi. Dia letak semua kesalahan atas mahu anak.
“Jangan sibuk membebel tanpa bagi pelukan kepada anak. Walaupun anak dah besar, saya biasakan diri untuk peluk dan cium supaya mereka tahu saya ambil berat tentang mereka,” katanya.
Tambah Lisdawati, dia tahu ramai ibu bapa menggunakan alasan sibuk mencari rezeki membuatkan wujud jurang antara mereka dan anak. Baginya, urusan mencari nafkah tidak boleh dijadikan alasan kerana anak-anak adalah amanah pemberian Tuhan.
“Saya percaya masih ramai ibu ayah yang terlalu sibuk mencari duit dan letak kepercayaan penuh pada anak sampai lupa nak berkongsi kasih sayang.
“Jangan jadikan alasan sibuk membuatkan anda tak ada masa dengan anak. Setidaknya apabila anak bangun tidur nak pergi sekolah, kita luangkan sedikit masa dna jangan gunakan masa sedikit itu untuk membebel sampai lupa berikan pelukan,” katanya.
Mengulas mengenai drama Cela, selain menekankan kritik terhadap cara membesarkan anak, Lisdawati juga berkata menerusi wataknya, ibu bapa perlu mempunyai pertimbangan adil dan tidak mudah mempercayai seratus peratus apa yang dikatakan anak-anak.
“Tidak semua ibu bapa kenal betul-betul anak mereka. Jadi ibu bapa kena tengok cerita Cela kerana ibu bapa tidak tahu apa yang anak mereka buat maklumlah semua sibuk.
“Bila tengok anak nampak baik sahaja tidak cukup, ibu bapa kena ambil tahu apa yang anak mereka lakukan, apa dalam telefon anak, dengan siapa berkawan supaya kita tidak terlepas pandang,” katanya.
Drama Cela ditayangkan menerusi aplikasi Viu.









