KUALA LUMPUR: Pelawak dan selebriti media sosial, Shuib mahu menjadikan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan sebagai salah satu cara untuk mendidik anak-anaknya mengenali erti syukur serta menghargai kehidupan yang mereka miliki.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, pengalaman melihat sendiri kehidupan masyarakat daripada latar belakang berbeza mampu memberi kesedaran kepada anak-anak bahawa kebahagiaan tidak semestinya bergantung kepada kemewahan atau apa yang dimiliki.
Katanya, pendedahan seperti itu lebih berkesan kerana anak-anak dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman berinteraksi dengan masyarakat, berbanding hanya mendengar nasihat mengenai kepentingan bersyukur daripada ibu bapa.
“Sebagai seorang ayah, saya mahu anak-anak melihat sendiri kehidupan masyarakat dan belajar daripada pengalaman mereka.
“Apabila kami turun padang dan saya sendiri tahu program komuniti bersama Fernleaf diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) saya sebenarnya agak terkejut juga.
“Apabila Talita sampai di sini dan melihat sendiri suasana serta bagaimana komuniti di sini begitu gembira, saya rasa mungkin dia akan terfikir bahawa kita sepatutnya lebih bersyukur dengan apa yang kita ada,”katanya.
Menurut Shuib, pengalaman tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak untuk mengenali masyarakat dengan lebih dekat, malah mengajar mereka mengenai nilai empati, kebersamaan dan keprihatinan terhadap orang lain.
Katanya, dia mahu anak-anak memahami bahawa sekecil-kecil sumbangan atau usaha yang dilakukan dengan ikhlas mampu memberi makna besar kepada mereka yang menerimanya.
“Hari ini kita dapat lihat sendiri komuniti di sini sangat gembira. Bagi saya, itulah perkara yang penting untuk anak-anak lihat. Kadang-kadang kita rasa benda yang kita buat itu kecil sahaja, tetapi sebenarnya ia boleh memberikan senyuman kepada ramai orang.
“Talita pun nampak ramai kawan-kawan di sini dan ada ibu bapa yang turut membawa anak-anak mereka. Jadi, dia dapat lihat sendiri bahawa kita boleh berkongsi kegembiraan dengan orang lain dan pada masa sama belajar menghargai apa yang kita ada,” katanya.
Dalam pada itu, program ini merupakan hentian pertama siri jelajah komuniti di bawah kempen Kebaikan Nutrisi untuk Setiap Generasi yang akan berlangsung selama tiga bulan di beberapa lokasi sekitar Semenanjung Malaysia sebelum kemuncaknya di Karnival Jom Heboh Kuala Lumpur pada November ini.










