Akaun yang dikongsi netizen tidak aktif, harap dapat berhubung kembali dengan Syuk - Tomok - Utusan Malaysia

Akaun yang dikongsi netizen tidak aktif, harap dapat berhubung kembali dengan Syuk – Tomok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Tomok memaklumkan kali terakhir dia berhubung dan bercakap dengan teman seperjuangannya yang juga pemain bass kumpulan New Boyz, Syuk sekitar 2011 sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Menurut Tomok, keinginannya untuk kembali menghubungi Syuk timbul susulan perancangan untuk mengadakan sebuah konsert yang bakal berlangsung di Singapura pada 5 Disember depan.

“Sebenarnya, saya sudah cuba hubungi dia sejak beberapa tahun. Cumanya saya tidak hebahkan kepada umum. Kalau tidak silap, kali terakhir kami berhubung sekitar 2011. Itulah kali terakhir saya dapat bercakap dengannya. Selepas itu, kami terus terputus hubungan. Pada 2023 dan 2024, kami ada mengadakan beberapa konsert bersama New Boyz.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, untuk konsert kali ini, saya terdetik untuk bertanya di mana Syuk berada sekarang. Saya cuba usahakan untuk mencarinya kerana mahu berbincang dengannya mengenai konsert di Singapura pada 5 Disember nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tomok berkata demikian ketika ditanya mengenai perkongsiannya di Threads yang memaklumkan dirinya sedang mencari rakannya itu selepas sekian lama tidak mendengar khabar berita, baru-baru ini.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai pihak, malah terdapat beberapa individu cuba membantu dengan memberikan maklumat serta akaun media sosial yang dipercayai milik Syuk.

Bagaimanapun, Tomok memaklumkan dia masih belum dapat memastikan kesahihan akaun berkenaan selepas mendapati sudah lama tidak aktif.

“Ramai yang memberi respons dan ada yang berkongsi akaun TikTok yang dikatakan miliknya. Tetapi, saya sendiri tidak pasti sama ada akaun itu benar-benar milik Syuk. Saya juga masih belum memperoleh nombor telefonnya. Apabila saya lihat akaun yang diberikan, ia juga sudah lama tidak aktif.

“Jadi, saya masih menunggu sekiranya ada sesiapa yang mempunyai nombor telefon atau mana-mana pihak yang boleh membantu saya menghubunginya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Tomok berharap usahanya itu membuahkan hasil memandangkan tarikh konsert sudah semakin hampir, selain mahu merealisasikan permintaan peminat yang mahu melihat kumpulan itu kembali bersatu dengan lengkap.

“Kali terakhir kami berhubung, dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Semuanya baik-baik sahaja. Saya berharap saya dapat berhubung kembali dengan dia. Kemudian barulah kita boleh berbincang berkenaan konsert. Kalau dia ada akan lengkaplah anggota kumpulan kami nanti. Ramai juga peminat yang minta untuk kami kumpulkan semula ahli kumpulan New Boyz.

“Konsert itu pun sudah tidak lama lagi, kira-kira dua bulan sahaja lagi. Jadi, saya akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkannya. Insya-Allah,” ujarnya.

Sekadar info, New Boyz bakal mengadakan konsert New Boyz Meraung Live In Singapore di The Star Theathre, pada 5 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×