KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dipersembahkan oleh artis luar negara terpaksa digugurkan daripada saingan kali ini.
Menurut pengerusinya, Rosmin Hashim, penyertaan kategori tersebut terpaksa dibatalkan berikutan jumlah penyertaan yang terlalu terhad.
“Kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dipersembahkan oleh artis luar negara tidak dapat dipertandingkan pada AIM25 berikutan jumlah penyertaan terhad yang diterima bagi kategori tersebut.
“Walaupun begitu, kami kekal komited untuk terus mengiktiraf karya muzik Melayu serta perkembangannya di peringkat antarabangsa dan akan terus menilai kategori ini untuk AIM akan datang,” katanya menerusi sesi ucapannya, di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa sebanyak 600 pencalonan telah diterima secara keseluruhan menerusi penilaian ketat yang dikendalikan oleh barisan 119 juri berpengalaman.
Katanya, bagi edisi kali ini, kategori Lagu Pop Terbaik mencatatkan jumlah pencalonan tertinggi, manakala kategori Rakaman Album Terbaik pula menerima penyertaan terendah.
Bagi menyemarakkan sambutan 25 tahun penganjuran, RIM turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Kebudayaan Terbaik dan Lagu Etnik Terbaik bagi meraikan kepelbagaian identiti serta tradisi tanah air.
Secara keseluruhannya, sebanyak 32 kategori bakal dipertandingkan pada edisi Jubli Perak ini, di samping penyampaian Anugerah Sri Wirama sebagai anugerah khas pengiktirafan tertinggi.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua calon lima akhir yang telah berjaya mara ke peringkat ini. Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan terhadap hasil kerja, kreativiti, dan komitmen anda semua dalam menghasilkan karya muzik sepanjang tempoh kelayakan.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada AIM25, termasuk Kementerian Komunikasi, Kerajaan Negeri Sarawak, para penaja, rakan strategik, serta rakan media rasmi,” ujarnya.
Malam kemuncak AIM25 bakal mencipta sejarah tersendiri apabila julung kalinya dianjurkan di luar Lembah Klang dengan memilih Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak sebagai lokasi penganjuran pada 26 September ini.










