Salina Saibi mohon doa kekal istiqamah berhijab - Utusan Malaysia

Salina Saibi mohon doa kekal istiqamah berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon dan usahawan, Salina Saibi memohon doa orang ramai agar terus diberi kekuatan untuk kekal istiqamah berhijab selepas tampil lebih kerap mengenakan tudung sejak pulang menunaikan ibadah umrah pada Syawal lalu.

Salina, 44, berkata, penghijrahannya itu lahir daripada kerelaan hati sendiri tanpa dipengaruhi atau dipaksa mana-mana pihak termasuk suaminya.

Katanya, keputusan tersebut dibuat demi dirinya sendiri serta kerana Allah SWT, meskipun mengakui masih berdepan cabaran untuk terus istiqamah.

“Insya-Allah, doakan saya terus istiqamah. Saya pun sedar iman ada turun naik dan setiap kali memakai tudung, ada sahaja bisikan yang menghasut.

“Perasaan itu kadang-kadang berbolak-balik kerana kita bukanlah insan yang sempurna. Sebab itu saya harap orang ramai dapat mendoakan agar saya terus kuat.

“Alhamdulillah, setiap kali hendak keluar rumah sekarang, saya akan mencari tudung terlebih dahulu. Saya anggap ini satu perubahan yang positif untuk diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Weekend Fete Al Aqsa Carpets di Al Aqsa Carpets, di sini, semalam.

Menurut pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 itu, suaminya tidak pernah memaksanya untuk bertudung, sebaliknya hanya memberikan sokongan terhadap perubahan tersebut.

“Saya buat keputusan ini bukan kerana orang lain. Suami tidak pernah memaksa, tetapi apabila melihat penampilan saya seperti ini, dia hanya tersenyum. Saya buat semua ini kerana diri saya dan kerana Allah.

“Kalau kita mampu melakukan sesuatu yang baik untuk diri sendiri, lakukanlah. Jangan terlalu memikirkan pandangan orang lain kerana yang lebih penting ialah hubungan kita dengan Allah,” katanya.

Bagaimanapun, Salina enggan berkongsi lebih lanjut mengenai penghijrahannya kerana tidak mahu terlalu awal membuat kenyataan mengenai masa depan.

“Saya tidak berani bercakap lebih kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Apa yang penting, saya akan terus berusaha menguatkan semangat,” ujarnya.

Dalam perkembangan kerjaya, Salina memaklumkan dia akan menyelesaikan baki penggambaran musim terdahulu drama bersiri Gerak Khas yang menyaksikannya membawa watak Asisten Superintenden Polis (ASP) Salina selama lebih dua dekad.

Katanya, selepas itu dia akan berbincang dengan penerbit, Datuk Yusof Haslam serta pihak produksi mengenai penglibatannya bagi musim baharu susulan perubahan penampilannya.

Sementara itu, Salina turut berkongsi hasrat untuk menaja individu menunaikan ibadah umrah sekiranya dikurniakan rezeki daripada perniagaan yang diusahakan.

“Saya sudah memasang niat, jika ada rezeki, setiap tahun saya mahu kembali ke Tanah Suci dan menaja seorang untuk sama-sama menunaikan umrah.

“Saya berdoa agar Allah SWT memakbulkan hasrat itu. Sudah tentu saya akan mengutamakan keluarga terlebih dahulu sebelum membantu individu lain yang bersesuaian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×