Produksi di India sangat pentingkan ketepatan masa - Kidd Santhe - Utusan Malaysia

Produksi di India sangat pentingkan ketepatan masa – Kidd Santhe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas Ambani Money, kini menyusur pula Naa Vera Level iaitu `Aku berada di tahap yang lain’. Boleh dikatakan, penyanyi, Kidd Santhe sememangnya sangat kreatif dalam mencorak karya. Mana tidaknya, pembikinan muzik videonya itu kali ini dijalankan di Chennai, India.

Bukan kepalang, Kidd Santhe sendiri yang mengatakan bahawa skala penggambaran muzik video ini melibatkan sekurang-kurangnya 180 kru produksi.

Mendedahkan lebih lanjut, Kidd mengakui kagum dengan cara kerja produksi di Chennai yang sangat pentingkan ketepatan masa dan disiplin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Adakalanya, belum sempat Kidd melabuhkan punggungnya di kerusi set penggambaran, laungan `Vaanga, shoot-a thodardhuvom!’ sudah kedengaran keluar dari mulut pengarah muzik video.

“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan produksi di Chennai, India. Produksi mereka di sana saya boleh katakan memang pada tahap yang lain. Saya dapat tahu bahawa mereka keluarkan 300 video setiap bulan.

“Di sana, semuanya perlu tepat masa. Saya kadang-kadang tidak sempat minum teh dan minum kopi apatah lagi rehat secara bersahaja. Belum saya habis satu babak ini, kru-kru sudah siap untuk `props’ dan segala persiapan yang lain.

“Semasa saya tengah dalam penggambaran, mereka sudah sediakan ‘props’ di lokasi yang seterusnya. Begitu juga babak-babak yang berikutnya. Sangat pantas mereka buat kerja,” katanya.

Ujar Kid, papan cerita untuk muzik video berkenaan sebenarnya datang daripada dia dan kawannya yang juga merupakan pengarah iaitu Rishan Raj. Boleh dikatakan, idea keseluruhan datang daripada mereka berdua.

Namun, bukan aspek itu semata-mata yang mahu diserlahkan. Ada perkara yang lebih mengagumkan. Kidd mendedahkan bahawa pasukan produksi terbabit berupaya merealisasikan keseluruhan idea daripada papan cerita berkenaan dalam tempoh lebih kurang 24 jam.

“Konsep dan papan cerita saya buat bersama dengan kawan baik saya, Rishan Raj. Jadi, kami berdua bagitahu produksi yang kami mahukan konsep sebegini. Boleh saya dapatkan muzik video yang seratus peratus sama macam yang kami mahukan? Saya beritahu kepada produksi.

“Paling menakjubkan, mereka siapkan muzik video berkenaan lebih kurang 24 jam sahaja. Itu pengalaman yang saya boleh katakan pengalaman yang menarik semasa lakukan penggambaran di Chennai tempoh hari.

“Dengan 180 orang tenaga kerja ini, awak semua boleh tengok sendiri kualiti MV dia bagaimana. Disebabkan itu, saya dapat banyak sangat pendedahan dan pengalaman yang saya belajar melalui produksi ini.

“Untuk lagu Naa Vera Level versi bahasa Melayu yang kami tambah elemen Hip Hop dari Pantai Timur ini, saya sendiri sedikit sebanyak suntik apa yang saya belajar dari Chennai, saya tambah dalam MV itu,” katanya.

Sementara itu, Kidd berkongsi cerita bahawa beca unik yang diubah suai dalam muzik video Naa Vera Level bukanlah disewa atau disediakan oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, kenderaan berkenaan dibeli menggunakan wangnya sendiri demi menjayakan konsep visual yang diinginkannya.

“Beca yang digunakan itu kami mahukan konsep seperti Fast and Furious. Sebenarnya, beca itu saya belikan sendiri di India dan kemudian saya ubah suai ikut konsep. Bagaimanapun, kos untuk beli dua beca itu sangat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun pembikinan klip video Naa Vera Level melebarkan sayapnya ke India, Kidd tetap bertegas untuk menunjukkan budaya Malaysia ke bumi Chennai.

“Setiap kali saya masuk ke set penggambaran, saya akan tunjuk budaya saya kepada orang di situ. Saya buat demikian sebab itu identiti saya.

“Saya sampai ke sana pun sebab sokongan daripada peminat-peminat yang suka identiti muzik saya. Disebabkan itu, sampai sekarang saya masih bertahan untuk buat muzik dan kini, saya terbang ke India, satu pencapaian yang sangat luar biasa,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN