PETALING JAYA: Kumpulan rock legenda XPDC Kita Peng Yu bakal mengubat kerinduan peminat menerusi konsert XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud yang bakal berlangsung di Odeon Kuala Lumpur yang pada 22 Ogos depan.
Konsert anjuran Rockstation & Event Entertainment itu akan menampilkan persembahan lebih dua jam dengan lagu-lagu malar segar XPDC, selain memperkenalkan single terbaharu mereka, Satu Arah.
Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin berkata,
konsert itu dianjurkan selepas menerima permintaan berterusan daripada peminat yang mahu menyaksikan XPDC Kita Peng Yu tampil dalam sebuah konsert berskala khas.
“XPDC Kita Peng Yu sememangnya mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Selepas melihat sambutan yang diterima kumpulan ini di pelbagai lokasi, kami yakin sudah tiba masanya untuk merealisasikan sebuah konsert eksklusif buat mereka.
“Malah kami percaya peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei juga akan hadir kerana sokongan terhadap muzik rock di sana masih sangat kuat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, konsert itu turut menampilkan tiga tetamu khas iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali daripada Black Dog Bone dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael XPDC.
Katanya, ketiga-tiga mereka akan menjayakan tiga segmen khas dikenali sebagai Metal, Tribute dan Metal 60’an, sekali gus membawa penonton mengimbau pelbagai era muzik rock tempatan.
“Kehadiran mereka bakal memperkuatkan lagi aura konsert menerusi tiga segmen berbeza yang diberi nama Metal, Tribute dan Metal 60’an, sekali gus membawa penonton mengembara merentas pelbagai era kegemilangan muzik rock tempatan,” katanya.
Mozylir berkata, pihak penganjur turut memberi perhatian kepada aspek audio, visual dan produksi bagi memastikan peminat menikmati pengalaman konsert yang berkualiti.
Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Azuar Md Tasi berkata, konsert bertiket memerlukan persiapan lebih rapi berbanding persembahan di festival terbuka
“Bila kita buat konsert berbayar, peminat datang dengan harapan yang lebih tinggi. Sebab itu kami beri perhatian kepada setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi.
“Kami mahu setiap peminat yang hadir pulang dengan rasa puas dan merasakan mereka benar-benar mendapat pengalaman yang istimewa,” katanya.

Dengan gabungan lagu-lagu legenda, kemunculan tetamu istimewa, tiga segmen eksklusif serta produksi yang dipertingkatkan, XPDC Kita Peng Yu dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia dan adrenalin yang bakal mengubat rindu peminat setia rock tanah air.
Tiket XPDC Kita Peng Yu, Headbang Live & Loud kini ditawarkan menerusi saluran jualan rasmi penganjur.










