PUTRAJAYA: Pelakon, Azar Azmi mengakui dirinya masih dalam fasa menyesuaikan diri selepas kembali aktif dalam industri seni apatah lagi setelah terpalit dengan kontroversi yang mencemarkan nama baiknya.
Menurut Azar, dirinya sering berasa takut dan gementar setiap kali menjadi tumpuan orang ramai selepas tujuh tahun selesa menjalani kehidupan di dalam ‘kepompong’ sendiri.
“Saya sudah terbiasa hidup di belakang tabir. Apabila tiba-tiba berada di hadapan orang ramai dan semua orang memandang, timbul satu perasaan yang sukar dijelaskan.
“Perasaan itu sangat berbeza. Dulu saya seorang yang mudah bergaul, mudah ketawa dan berbual dengan orang. Sekarang bukan saya sengaja menjadi pendiam, tapi keadaan itu berlaku secara semula jadi.
“Kalau mahu cerita tentang tempoh lima hingga tujuh tahun itu, saya memang jarang keluar rumah. Dunia saya sangat berbeza. Selama ini saya berada dalam kepompong sendiri.
“Apabila keluar semula ke dunia luar, semuanya terasa asing,” katanya ketika ditemui di sidang media Bulan Henti Bicara, baru-baru ini.
Ditanya sama ada dirinya berdepan dengan masalah ‘anxiety’ atau keresahan, Azar mengakui dirinya hanya dibelenggu rasa gementar dan kurang yakin untuk kembali menjadi tumpuan orang ramai.
“Setakat yang saya tahu, saya tidak rasa begitu. Saya cuma gementar kerana situasi itu berbeza. Selama lima hingga tujuh tahun saya tidak berada dalam suasana seperti ini, dikelilingi kamera dan orang ramai.
“Apabila semua mata memandang kita, saya akan terfikir, “Saya ada buat salah ke? Baju saya kotor ke? Kenapa semua orang tengok saya?”. Persoalan begitu yang bermain dalam fikiran saya.
“Saya belum berjumpa doktor, tapi keadaan semakin baik sedikit demi sedikit. Saya masih ingat ketika mesyuarat pertama untuk drama ini, walaupun sekadar berbual biasa, saya mengambil masa yang lama untuk bersuara,” jelasnya.
Berkongsi mengenai kehidupan selepas kembali aktif dalam industri, ibu kepada dua cahaya mata itu menyerahkan segala perihal kerjayanya kepada pengurusnya, termasuklah hal-hal berkaitan tawaran lakonan.
“Semua urusan jadual dan tawaran saya serahkan kepada pengurus. Dia dah faham corak kerja saya, jenis karakter yang sesuai dan sebagainya.
“Sejak hari pertama saya berada dalam industri memang dia yang menguruskan saya. Alhamdulillah, sampai hari ini masih bersama dia. Jadi saya memang serahkan semuanya kepada dia,” ujarnya.









