Saya memang sentiasa ada, tidak pergi mana-mana - Atilia Haron - Utusan Malaysia

Saya memang sentiasa ada, tidak pergi mana-mana – Atilia Haron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah lebih empat dekad berada dalam dunia seni, penyanyi dan penghibur, Atilia Haron mengakui perjalanan sebagai artis bebas bukanlah sesuatu yang mudah. 

Tanpa pengurusan besar di belakangnya, setiap langkah, daripada merancang kerjaya sehinggalah menganjurkan konsert, perlu diuruskan sendiri sekali gus menjadikan dia seorang yang lebih matang dan tenang berdepan setiap cabaran. 

Menurut Atilia, ramai beranggapan dia menyepi daripada dunia seni, walaupun dirinya aktif meneroka pelbagai bidang seperti yoga, lakonan, pengacaraan dan nyanyian.

“Sekarang saya sudah 52 tahun, tapi orang selalu ingat saya lebih muda sebab tenaga saya macam budak-budak. Saya sudah berada dalam industri ini sejak umur saya 10 tahun. 

“Saya memang sentiasa ada. Selalunya orang cakap, ‘Atilia bila nak kemunculan semula?’ Saya tidak pergi mana-mana pun. Saya ada di situ sahaja. Cuma saya buat macam-macam seperti yoga, berlakon, jadi pengacara, menyanyi dan sebagainya. 

“Bila kita terlalu fokus kepada banyak perkara, orang tidak nampak arah sebenar kita. Tetapi kenapa kita tidak didik masyarakat bahawa seseorang itu boleh buat banyak perkara dan tetap melakukannya dengan baik?

“Lagipun saya tiada anak atau keluarga yang perlu saya uruskan. Jadi saya ada lebih masa untuk merancang semua perkara itu. Mungkin sebab itu ketenangan itu datang dengan sendiri,” katanya.

Bakal mengadakan konsert sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-52 tahun, Atilia bagaimanapun bersyukur meskipun dirinya tidak begitu menyerlah sehingga kini, dia tetap mempunyai peminat yang setia sejak awal penglibatannya dalam industri. 

“Memang peminat saya tidak ramai, tetapi yang ada sangat setia. Sampai saya mahu buat konsert pun mereka sanggup keluarkan duit sendiri untuk membantu. Mana ada peminat seperti itu? Saya memang sangat menghargai mereka sebab mereka juga menghargai saya,” kongsinya.

Tidak lagi kecil hati sering diketepikan

Dalam masa sama, Atilia turut mengakui pernah berasa kecewa apabila namanya seolah-olah dipinggirkan dalam arus perdana walaupun mempunyai katalog lagu yang banyak serta pernah bekerjasama dengan ramai nama besar industri.

Namun, pengalaman mengajarnya untuk menerima hakikat bahawa tidak semua orang akan menyukai dirinya dan dia memilih untuk terus menjadi diri sendiri.

“Dulu saya memang tidak boleh terima. Saya kecil hati juga. Sebab itu saya pernah terfikir mahu pergi Indonesia dan menyanyi di sana. Tapi sekarang saya rasa, itulah ketentuan takdir hidup saya.

“Mungkin saya ada benda yang orang suka, ada orang yang tidak suka. Ada orang cakap saya terlalu ceria, terlalu terbuka, terlalu menunjukkan aktiviti harian.

“Tapi sebenarnya itulah diri saya. Kalau boleh saya nak jadi orang yang sama di depan kamera dan di belakang kamera. Memang ada yang tidak boleh terima. Tapi saya percaya, lama-kelamaan orang akan nampak keikhlasan itu,” katanya.

Dalam masa sama, anak kepada penyanyi senior, Salamiah Hassan itu tidak menafikan dengan mencetuskan kontroversi mampu menjadi jalan pintas untuk populariti seseorang artis itu melonjak.

Namun, penyanyi lagu Kanda Dinda itu senang menjadi diri sendiri tanpa perlu mewujudkan drama tertentu untuk terus diterima umum.

“Kadang-kadang memang begitu. Kalau mahu cepat popular dan cepat diterima, ada yang rasa mereka perlu mencipta imej atau berlakon menjadi seseorang yang bukan diri sendiri.

“Maaf cakap, tapi saya rasa memang ada. Masyarakat terlalu cepat menghakimi berdasarkan apa yang mereka nampak. Padahal mereka tak tahu siapa kita sebenarnya.

“Mereka tidak tahu kehidupan kita di rumah. Sebab itu ada artis yang memilih jalan itu. Tapi nasihat saya, jangan. Jadilah diri sendiri. Insya-Allah akhirnya orang akan menerima diri kita seadanya. Kalau mahu buat sesuatu, jadikanlah sesuatu itu sesuatu yang positif. 

“Kita kena mendidik netizen, pendengar dan penonton bahawa perkara positif juga boleh menjadi contoh dan tarikan. Saya rasa sekarang orang pun sudah penat dengan terlalu banyak perkara negatif,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN