Minat lagu tradisional, anak Nourul Depp teringin tonton konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Minat lagu tradisional, anak Nourul Depp teringin tonton konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Depp mendedahkan anak lelakinya, Zachary amat meminati lagu-lagu nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sehingga memintanya untuk membeli tiket konsert penyanyi berkenaan yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.

Nourul Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, anaknya kerap memintanya untuk membeli tiket konsert tersebut, namun tarikh persembahan berkenaan berkemungkinan bertembung dengan projek baharunya.

“Memang dia sudah minta saya belikan tiket. Sekarang ini saya masih berusaha menguruskan masa.

“Sebab pada bulan Oktober ini saya ada projek bersama kementerian. Walau bagaimanapun, insya-Allah jika tiada halangan memang saya berhasrat untuk pergi ke konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai lagu kegemaran Zachary, Nourul memberitahu bahawa anak lelakinya itu amat menggemari irama tradisional, khususnya lagu Balqis dan Cindai.

“Dia paling suka lagu Balqis dan Cindai. Zachary memang meminati lagu-lagu berunsur tradisional.

“Sekarang ini saya lihat dia juga sedang menghafal dan menyanyikan lagu-lagu nyanyian Tan Sri P. Ramlee,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, mengenai konsert ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mengadakan Konsert Tradisional Gema Bumantara pada 17 Oktober 2026 bertempat di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Konsert berskala mega yang bermula pada jam 8:30 malam ini diadakan bagi mengangkat serta memperkukuh apresiasi terhadap irama muzik tradisional tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN