Berjuang dalam fasa yang tidak sesenang menembusi industri seperti hari ini, Marsha Milan sebenarnya sudah lali ditipu, dikhianati dan dijadikan mangsa permainan kotor dunia glamor.
Realitinya, itu pahit yang pernah ditelan bulat-bulat oleh semua penggiat seni termasuklah Marsha sepanjang dua dekad membina reputasi sebelum dilabel sebagai antara barisan vokalis terbaik negara masa kini.
Walaupun hatinya remuk disinggung orang yang dipercayai, penyanyi yang dianggap sebagai ‘dark horse’ dalam industri ini memilih untuk tidak berundur dan menjadikan kecewa semalam sebagai semangat untuk terus melebarkan sayap.
Mengenang fasa awal sebelum kejayaan besarnya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-36, penyanyi berusia 41 tahun ini mengakui bahawa setiap perbuatan buruk orang lain adalah di luar kawalannya.
Namun, apa yang membezakan seseorang anak seni itu adalah sejauh mana dia mampu menjaga kejujuran dan kualiti kerjanya.
“Saya akui industri kita ini memang penuh dengan cabaran dan ada masanya saya rasa tindakan ‘orang itu’ tidak adil atau kepercayaan kita dikhianati. Tetapi, lama-kelamaan saya belajar bahawa kita tidak boleh mengawal tindakan orang lain. Yang mampu dikawal adalah cara kita bekerja, melayan orang dan integriti diri sendiri.
“Kalau saya ikhlas berkarya dan menjaga hubungan dengan baik, rezeki itu tetap ada. Setiap pengalaman sama ada baik atau buruk sebenarnya banyak mengajar saya untuk jadi lebih matang serta berhati-hati,” katanya.

Hakikatnya, pengalaman dua dekad itu bukan sahaja menjadikan emosi Marsha lebih kental, malah mendewasakan pandangannya dalam menentukan hala tuju dan kualiti kerjaya seninya hari ini.
Pembuktian itu jelas apabila menyentuh soal penganjuran konsert solo. Belajar daripada sepak terajang industri yang pernah dilaluinya, Marsha bertegas bahawa seseorang penyanyi itu sewajarnya memiliki sekurang-kurangnya satu album penuh sebelum berhasrat mementaskan persembahan berskala besar.
Bagi penyanyi kelahiran Akademi Fantasia ini, pandangan tersebut bukan untuk menidakkan rezeki sesiapa, sebaliknya satu bentuk penghormatan buat penonton yang hadir.
“Berdasarkan pengalaman saya sepanjang berada dalam industri, sebuah album penuh itu umpama ‘lesen’ untuk seseorang penyanyi. Konsert bukan sekadar tentang persembahan satu malam, tetapi mengenai himpunan karya yang betul-betul menjadi identiti dan jiwa kita,” katanya.

Marsha belajar daripada kesilapan
Percaturan Marsha sewaktu membawa lagu Kembali Terang di pentas Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) pernah meninggalkan trauma dalam kerjaya muziknya.
Manakan tidak, kejayaan merangkul gelaran Naib Juara pada AJL36 menerusi lagu Cinta, yang diciptakan oleh Hang Nadim dan Bunga Cantik itu telah meletakkan sasaran atau ‘KPI’ yang terlalu tinggi buat dirinya sendiri.
Tekanan yang melampau untuk melepasi pencapaian terdahulu akhirnya memakan diri Marsha sendiri.
Marsha juga mendedahkan dia sebenarnya pernah diserang masalah ‘panic attack’ atau serangan panik sewaktu membuat persembahan secara langsung di atas pentas berprestij itu.
“Saya rasa sewaktu persembahan Kembali Terang, saya terlalu mahu membuktikan sesuatu kepada diri sendiri selepas kejayaan lagu Cinta di AJL36. Saya meletakkan harapan yang sangat tinggi dan terlalu fokus kepada keputusan akhir persembahan.
“Tekanan itulah yang memberi kesan kepada saya sehingga mengalami serangan panik semasa menyampaikan lagu tersebut di atas pentas. Sebenarnya, lagu itu memang mempunyai gubahan asal yang besar dan bila dibawa ke AJL, kita cuba membesarkannya lagi tetapi hasilnya menjadi satu perjudian yang ada orang suka dan ada kurang gemar,” ujarnya.
Bagi Marsha, kejadian itu menjadi pengajaran untuk menilai semula cara dia mengendalikan tekanan ketika bertanding.
Pengalaman gementar hingga hilang kawalan di atas pentas akhirnya membuka mata penyanyi ini bahawa keputusan sesuatu pertandingan berada di luar kawalan semua yang bertanding.
Gubahan muzik Kembali Terang yang dianggap keterlaluan atau over-do oleh sesetengah pihak turut memberi iktibar buat Marsha.
Walaupun menyukai gubahan tersebut secara peribadi, Marsha sedar setiap usaha yang dilakukan tetap perlu diiringi dengan sikap berserah.
“Kini saya belajar bahawa kita tidak boleh mengawal hasil akhir tetapi kita hanya boleh mengawal usaha yang kita lakukan. Walaupun masih ada sasaran, saya kini lebih fokus kepada proses menyampaikan, buat yang terbaik dan menikmati setiap momen persembahan.
“Selebihnya saya serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT dan tidak mahu lagi terbeban dengan andaian. Setiap kesilapan dijadikan pengajaran untuk saya mengurus emosi dengan lebih tenang,” katanya.

Penyampaian rasa dan visual jadi taruhan
Sementara itu, menjelang pentas kemuncak AJL40 pada Ogos ini, Marsha mengambil pendekatan lebih tenang menerusi karya ciptaannya sendiri dan lirik daripada Hazama yang bertajuk Tangisan Seorang Pendosa.
Dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi atau mengulangi kesilapan lalu yang boleh memakan diri.
Fokus utamanya adalah untuk menjaga kesihatan agar dapat memberikan persembahan yang memukau semua penonton di Unifi Arena pada malam pertandingan nanti.
Marsha meyakini bahawa kekuatan lagu kali ini tidak terletak pada vokal semata-mata tetapi tentang kejujuran mesej yang dibawa melalui lagu ini sendiri.
“Buat masa sekarang, saya cuba sedaya upaya untuk tidak meletakkan jangkaan berlebihan pada diri sendiri kerana keadaan kesihatan pun belum pulih sepenuhnya. Fokus utama saya adalah untuk sembuh dahulu sambil menyusun persiapan pertandingan secara perlahan-lahan.
“Mengenai dakwaan lagu Tangisan Seorang Pendosa ini seakan sama dengan karya saya sebelum ini, saya faham kerana pendengar dapat merasakan identiti saya di dalamnya.
“Namun, lagu ini sangat berbeza kerana ia lahir daripada bayangan peribadi tentang taubat, harapan dan kasih sayang Allah SWT,”ujarnya.
Mengulas bagaimana aura Marsha pada malam kemuncak itu nanti, kata penyanyi ini, dia kekal dengan pendiriannya untuk memfokuskan kepada penyampaian rasa berbanding penggunaan alatan pentas yang keterlaluan.
“Lagu balada ini sangat dekat dengan jiwa saya kerana setiap melodi dan liriknya datang daripada pengalaman serta rasa yang saya mahu sampaikan sendiri. Untuk AJL kali ini, permainan visual dan kawalan emosi akan sekali lagi menjadi taruhan utama saya di atas pentas.
“Saya tidak ada masalah dengan alatan pentas tetapi untuk lagu ini, saya mahu pendengar fokus kepada mesej dan liriknya. Bagi saya, pesaing utama saya pada malam itu nanti adalah semua finalis yang bertanding mempertaruhkan lagu-lagu balada,” katanya menutup bicara.










