KUALA LUMPUR: Madani Greatlink Sdn. Bhd. melakar langkah baharu dalam strategi penjenamaannya apabila tampil sebagai antara penaja filem terbaharu terbitan Key Billions Sdn. Bhd., Tiket Sehala.
Pemilik Madani Greatlink, Hairi Jasadi berkata, pembabitannya dalam filem berkenaan merupakan julung kali dilakukan syarikat itu selepas tertarik dengan konsep serta gabungan barisan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan dan Indonesia.
Menurutnya, kerjasama tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada syarikat menyokong industri kreatif tempatan, malah menjadi platform untuk memperkenalkan jenama Madani Greatlink kepada kelompok masyarakat yang lebih luas.
“Apabila saya mendapat tahu mengenai filem Tiket Sehala, saya terus tertarik untuk menjadi salah seorang penaja, khususnya apabila melihat gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa dari Korea Selatan, Indonesia dan Malaysia.
“Walaupun kami sudah agak lama berada dalam industri, kami masih memerlukan pendedahan lebih meluas. Ini merupakan kali pertama Madani Greatlink menjadi penaja bagi sebuah filem,” katanya.
Hairi berkata, pihaknya turut merancang siri jelajah bagi mempromosikan Tiket Sehala, termasuk program di Shah Alam minggu depan yang bakal disertai komuniti motosikal.
“Kami merancang mengadakan jelajah sempena pelancaran rasmi Tiket Sehala. Minggu depan, program akan diadakan di Shah Alam dan kami juga akan mengajak pasukan motosikal untuk bersama-sama menyertai aktiviti serta menonton filem ini,” katanya.
Dalam pada itu, program promosi yang berlangsung hari ini turut mendapat sambutan peminat menerusi beberapa aktiviti termasuk Gold Bar Challenge.
Sebanyak 100 pemenang berpeluang memperoleh tiket percuma untuk menonton Tiket Sehala, selain baucar pembelian kenderaan yang disediakan dengan nilai keseluruhan RM50,000.
Menurut Hairi, setiap baucar pembelian kenderaan bernilai RM5,000 dan inisiatif tersebut diharap dapat meningkatkan lagi pengenalan masyarakat terhadap perniagaan Madani Greatlink dalam jualan kereta dan motosikal.
“Kami berharap menerusi kerjasama ini lebih ramai mengenali Madani Greatlink sebagai syarikat yang menjalankan perniagaan jualan kereta dan motosikal.
“Itu antara objektif utama saya selain minat terhadap filem ini,” katanya.
Tiket Sehala mengetengahkan gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa selain menjalani penggambaran di dua negara serta mengangkat isu semasa yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
Filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos ini.










