Loghat Sabah susah hilang – Sharmaine Alexander - Utusan Malaysia

Loghat Sabah susah hilang – Sharmaine Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Paling susah bagi saya adalah untuk kawal loghat Sabah terutamanya bila saya mula rasa gementar di set penggambaran. Kalau dalam drama baharu ini, satu babak itu saya perlu ulang dialog sama sampai lima atau enam kali.”

“Bila saya gementar, loghat Sabah saya akan terkeluar. Watak saya sebagai Sarah dalam Kasih Yang Terkorban memerlukan sebutan bahasa Melayu yang betul. Jadi, di situ memang saya banyak kena tegur dengan pengarah.”

Demikian kata pelakon baharu, Sharmaine Ilenna Rudy Alexander, 26, yang berkongsi tentang kekangan yang dihadapinya sepanjang tujuh bulan menceburkan diri dalam industri hiburan.

Sharmaine berkata, apabila dia ditawarkan watak Sarah dalam drama 60 episod, Kasih Yang Terkorban, dia merasakan loghat Sabahnya terlalu pekat semasa melontarkan dialog.

Menurutnya, proses penggambaran drama yang panjang ini sangat berbeza dengan pengalaman pertamanya dalam Keluarga Iskandar 3. Jika dahulu dia hanya perlu bercakap sekali sahaja untuk satu babak, tetapi kini dia perlu mengulang dialog yang sama berkali-kali mengikut syot kamera yang berbeza.

“Masa berlakon drama sebelum ini, pihak produksi sebenarnya suka bila dengar ada loghat Sabah sikit-sikit. Tetapi, untuk drama kali ini keadaannya berbeza kerana pengarah kami, Abang Ijat, memang sangat teliti sehinggakan dia orang pertama yang akan tegur kalau dengar loghat saya terlepas.

“Saya juga belajar untuk tidak bersikap defensif atau memberikan alasan apabila dikritik oleh orang lama di set penggambaran. Latar belakang saya dalam bidang undang-undang sebelum ini membuatkan saya terbiasa memberi hujah, tetapi dalam industri seni ini saya kena ubah tabiat itu,” katanya kepada Pancaindera.

Ditanya mengenai tabiat defensif itu, Sharmaine sempat berkongsi pengalamannya ketika ditegur juri, Nabila Huda, semasa menyertai pencarian Dewi Remaja sebelum ini.

Ketika itu, dia dinilai kurang selesa dan kelihatan terbeban ketika melakukan tugasan fotografi di hadapan kamera.

Disebabkan latar belakangnya sebagai penuntut bidang undang-undang, dia secara spontan cuba membela diri dengan memberikan alasan mengenai kasut tumit tinggi setinggi tujuh inci yang dipakainya.

“Kak Nabila terus tegur dan beritahu yang sebenarnya saya ini bersikap defensif dengan memberikan pelbagai alasan. Dari situ, saya sedar yang kita tidak perlu pun beri apa-apa alasan atau mahu menang berhujah dalam industri hiburan ini.

“Formula itu jugalah yang saya bawa dalam drama sekarang yang mana bila kena tegur dengan pengarah, saya tidak akan berhujah lagi. Saya hanya dengar dengan baik, terima dengan hati terbuka dan terus perbaiki lakonan di set,” ujarnya.

Dalam pada itu, apa yang menariknya mengenai Sharmaine ini, pelakon yang membawa gelaran Dewi Favourite ini sebenarnya baru mula berlakon selama empat bulan sahaja.

Bagaimanapun, Sharmaine banyak belajar selok-belok lakonan sepanjang 70 hari penggambaran bersama pelakon lama seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Rahim Omar.

Sharmaine turut memberitahu, David Teo juga menawarkan projek drama 60 episod sebelum penggambaran terdahulu tamat.

Bagaimanapun, atas nasihat Rocketfuel Entertainment, Sharmaine menolak tawaran itu bagi mengelakkan jadual kerja yang terlalu padat.

“Saya ini jenis yang sangat menghargai setiap peluang yang datang dan rasa rugi menolak sebarang tawaran kerja. Tetapi, apabila pengurus saya tahu ada lagi satu tawaran drama masuk, dia terus tanya sama ada saya mahu rehat atau tidak.

“Bagi saya, mendapat perhatian daripada penerbit besar dalam tempoh singkat ini adalah satu pencapaian besar untuk pelakon baharu seperti saya. Saya mahu gunakan ruang yang ada ini untuk mencuba semua selagi ada peluang,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN