Linda Hashim, Beego sah bercerai kali ketiga - Utusan Malaysia

Linda Hashim, Beego sah bercerai kali ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut rumah tangga pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego akhirnya menemui noktah apabila mereka sah bercerai buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Perkara itu disahkan peguam mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan yang memaklumkan anak guamnya bersetuju untuk melepaskan Linda secara baik selepas lebih setahun berdepan proses mahkamah.

Menurut Muhammad Akmal, mahkamah terlebih dahulu memutuskan permohonan pengesahan lafaz taklik yang difailkan Linda sebelum ini sebagai tidak sah.

“Dalam kamar mahkamah, hakim terlebih dahulu memutuskan permohonan pengesahan lafaz taklik yang difailkan Linda tidak sah.

“Berikutan keputusan itu, kedua-duanya masih berstatus suami isteri sebelum Beego bersetuju meneruskan lafaz cerai secara baik,” katanya.

Prosiding berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Radzi Sadiman dengan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, melafazkan talak satu terhadap Linda.

Muhammad Akmal menjelaskan, lafaz berkenaan merupakan perceraian kali ketiga pasangan tersebut dan bukannya lafaz talak tiga seperti yang mungkin disalahertikan.

“Beego bersetuju menceraikan Linda secara baik dan sudah melafazkan talak satu buat kali ketiga. Perlu dijelaskan bahawa ini bukan lafaz talak tiga.

“Mereka pernah bercerai sebanyak dua kali sebelum ini dan kemudian rujuk. Hari ini merupakan perceraian kali ketiga, jadi mereka tidak lagi boleh rujuk,” katanya.

Menurutnya, prosiding hari ini membabitkan dua perkara iaitu pengesahan lafaz taklik sebelum diteruskan dengan tuntutan perceraian pasangan berkenaan.

Kemelut rumah tangga Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, dan Beego sebelum ini mendapat perhatian selepas pasangan tersebut beberapa kali berdepan prosiding di mahkamah.

Mereka pernah bercerai dengan talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April tahun sama.

Selepas itu, Linda mendakwa mereka sekali lagi bercerai sebelum pasangan tersebut mengambil keputusan untuk kembali bersama.

Terdahulu, video memaparkan Linda dan Beego berbual di luar pekarangan mahkamah turut tular dalam media sosial.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN