Lakonan Azhan Rani dalam Bulan Henti Bicara berjaya buat penonton geram - Utusan Malaysia

Lakonan Azhan Rani dalam Bulan Henti Bicara berjaya buat penonton geram

Azhan Rani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lakonan Azhan Rani sebagai Jamali dalam drama terbaharu Astro, Bulan Henti Bicara berjaya mencuri perhatian penonton apabila wataknya mengundang pelbagai reaksi selepas episod pertama disiarkan.

Rata-rata pengguna media sosial mengakui watak dibawakan pelakon itu berjaya membangkitkan rasa geram, malah ada yang berseloroh bahawa setiap kali Azhan Rani membawa watak antagonis, mereka pasti membencinya.

Menurut Azhan, setiap kali menerima naskhah baharu, beliau akan mengosongkan diri bagi memastikan setiap watak yang dibawa mempunyai identiti tersendiri.

“Kalau hendak dikatakan ada kelainan, agak sukar kerana akhirnya tetap juga tentang lakonan, apa yang berbeza cuma nama karakter dan jalan ceritanya.

“Namun saya dibantu oleh naskhah yang baik serta pengarah yang sangat teliti. Saya dikawal oleh pengarah supaya yang lahir di skrin ialah Jamali, bukannya Azhan Rani,” katanya dalam kenyataan.

Azhan Rani

Selain Azhan, lakonan Ezzanie Jasny sebagai Zulfa turut menerima pujian apabila berjaya menghidupkan watak seorang wanita yang sanggup berkorban demi keluarga.

Ramai penonton meluahkan rasa simpati terhadap watak Zulfa, malah mengakui episod pertama sahaja sudah cukup menyentuh emosi mereka.

Kemunculan semula Azar Azmi menerusi watak Faziah turut mencuri perhatian selepas hampir tujuh tahun tidak muncul dalam drama televisyen.

Malah, ada penonton mengakui mula mengikuti drama itu kerana ingin menyaksikan kemunculan semula pelakon berkenaan selepas video kehadirannya di lokasi penggambaran tular di media sosial.

Dalam masa sama, penonton turut memuji jalan cerita Bulan Henti Bicara yang disifatkan dekat dengan realiti kehidupan, terutama membabitkan pengorbanan anak terhadap keluarga serta penderitaan seorang wanita.

Melihat sambutan positif terhadap episod pertama, ramai menjangkakan konflik membabitkan Zulfa, Jamali, Faziah dan Afghan akan terus menjadi perhatian sepanjang tayangan drama itu.

Bulan Henti Bicara dibintangi Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Hushairi Husain, Farah Ahmad, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha dan Nik Ramly.

Drama itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di Astro Ria dan boleh distrim menerusi Sooka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN