Insomniacks pertaruh single Inggeris demi pasaran baharu - Utusan Malaysia

Insomniacks pertaruh single Inggeris demi pasaran baharu

Insomniacks
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Insomniacks mempertaruhkan single berbahasa Inggeris berjudul Love Me Or Not sebagai langkah memperluaskan pasaran muzik ke peringkat antarabangsa menerusi kolaborasi bersama penulis lagu dari Sweden.

Menurut Insomniacks, lagu itu digubah oleh Rebbi James, Johan Gustafsson, Iqie, Danial dan Iskandar, manakala proses adunan (mixing) serta mastering dikendalikan Martin Hansen bersama Johan Gustafsson.

Penghasilan lagu itu membuka ruang kepada mereka meneroka pendekatan kreatif baharu menerusi kerjasama bersama pencipta lagu antarabangsa.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris, jadi ia bukan sesuatu yang asing buat kami.

“Kali ini kami melihatnya sebagai peluang untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada pendengar yang lebih luas, terutama di Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Insomniacks

Love Me Or Not mengangkat kisah cinta tidak berbalas mengenai seseorang yang memilih untuk terus menyayangi walaupun sedar dirinya bukan lagi sebahagian daripada kehidupan insan yang dicintai.

“Lagu ini mengisahkan seseorang yang menerima hakikat perasaannya mungkin tidak akan dibalas, namun tetap ikhlas menyayangi.

“Kami berharap mereka yang pernah melalui pengalaman sama tidak berasa keseorangan apabila mendengar lagu ini,” katanya.

Menurut kumpulan itu, lagu berkenaan dihasilkan menerusi sesi writing camp dan berjaya disiapkan dalam tempoh sehari.

“Apabila mendengarnya semula, kami terus jatuh hati dan tahu inilah lagu yang mahu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum album baharu,” katanya.

Insomniacks berkata, pengalaman bekerjasama dengan pencipta lagu luar negara turut memberi perspektif baharu terhadap proses penulisan lagu.

“Kami belajar setiap orang mempunyai cara tersendiri menghasilkan muzik dan pengalaman itu membuatkan kami lebih yakin untuk bereksperimen dalam karya akan datang,” katanya.

Sementara itu, selepas pelancaran Love Me Or Not, Insomniacks turut diumumkan sebagai artis pembuka tirai konsert kumpulan pop-rock antarabangsa 5 Seconds of Summer pada 17 November dan 4 Disember ini.

Peluang ini menjadi satu pengiktirafan besar buat Insomniacks, selain membuka ruang untuk mereka memperkenalkan muzik kepada khalayak yang lebih luas di pentas antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN