Imej mewah? Saya dan Scha Alyahya pun orang biasa juga - Awal Ashaari  - Utusan Malaysia

Imej mewah? Saya dan Scha Alyahya pun orang biasa juga – Awal Ashaari 

KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2026 - Sesi fotografi bersama selebriti Scha Al Yahya dan Awal Ashaari di Union Tower, Taman Desa di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID / PEMBERITA - ATHIRAH ( UTUSAN ) / HARYATI ( KOSMO )
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari mengakui ramai yang tersalah anggap terhadap dirinya dan isteri, Scha Alyahya apabila menyangka mereka hanya mengutamakan atau menggayakan barangan berjenama mewah semata-mata.

Menurut Awal, persepsi tersebut timbul kerana apa yang dipaparkan di media sosial lebih banyak berkaitan tuntutan kerja, sedangkan kehidupan sebenar mereka tidak jauh berbeza dengan masyarakat biasa.

Akui Awal, dia dan Scha juga membeli-belah di pasar raya serta kedai barangan mampu milik seperti pengguna lain, selain hanya memilih produk yang benar-benar berkualiti sebelum bersetuju mempromosikannya.

“Dia macam ini, bila orang tengok selebriti, mereka akan fikir apa sahaja yang selebriti pakai mesti bagus. Jadi kita tak nak mempersia-siakan kepercayaan itu. Sebab itu kalau ada dua tiga produk yang dihantar ke rumah dan saya rasa macam tak sesuai, saya tak akan promosi.

“Saya dengan Scha pun orang biasa juga. Bila balik rumah, kita sama sahaja macam orang di luar sana. Kita kena masak, kena jaga anak, kena kemas rumah. Jadi pengalaman kita menggunakan sesuatu produk itu sama sahaja macam pengalaman ibu bapa lain. Kalau sesuatu produk itu sesuai dengan saya dan Scha, saya yakin ia juga sesuai untuk orang di luar sana,” katanya.

Mengulas lanjut, Awal berkata, kelebihan sebagai selebriti bukan bermaksud mereka hanya menggunakan produk mahal, sebaliknya mereka sering diberi peluang mencuba sesuatu produk lebih awal sebelum dipasarkan.

“Bukan nak kata artis pakai semua benda bagus sebab kita artis. Cuma kita diberi satu kelebihan apabila sering dijemput ke majlis pelancaran atau jenama besar memberikan produk kepada kita lebih awal untuk dicuba. Jadi kita dapat merasai sendiri pengalaman menggunakan produk itu sebelum orang lain.

“Apabila sesuatu jenama belum melancarkan produknya di pasaran, mereka akan beri kepada selebriti dahulu untuk create the scarcity ataupun momentum. Jadi bila kita dah cuba dan kita rasa produk itu bagus, barulah kita boleh berkongsi pengalaman kepada orang ramai dan menggalakkan mereka mencubanya,” ujarnya.

Pada masa sama, Awal menegaskan dia bukan individu yang hanya mengunjungi premis mewah kerana turut membeli keperluan harian di pasar raya dan kedai serbaneka yang menawarkan harga berpatutan.

“Saya pun pergi kedai serbaneka seperti Speedmart, Eco-Shop tapi orang tak tahu. NSK pun saya pergi. Kedai RM2 pun saya pergi. Cuma benda yang kita paparkan di media sosial ini lebih kepada urusan kerja. Saya makan jajan RM2 pun orang tak tahu sebab tak ada sebab untuk saya kongsikan di media sosial semua itu.

“Saya pengguna macam orang biasa juga. Asalkan sesuatu produk itu berkualiti dan berbaloi untuk wang saya akan beli. Orang mungkin nampak apa yang kita pakai ketika bekerja, tetapi kehidupan harian kita tak jauh beza dengan masyarakat lain,” katanya.

Dalam pada itu, Awal berkata, dia dan Scha amat berhati-hati dalam memilih produk untuk dipromosikan kerana tidak mahu menggadaikan kepercayaan yang diberikan peminat.

“Kalau sesuatu produk itu tak menepati piawaian kualiti saya, memang saya takkan ambil. Contohnya kalau saya rasa produk makanan itu lebih kepada gula semata-mata, saya tak boleh terima. Sebab nanti macam mana kita nak influence orang kalau akhirnya memudaratkan kesihatan mereka?

“Nanti semua orang kena kencing manis, siapa yang salah? Saya juga yang kena. Sebab itu saya dan Scha pegang satu tanggungjawab sosial yang sangat tinggi. Walau sebanyak mana pun bayaran ditawarkan, kalau produk itu memudaratkan orang, kita takkan buat. Bagi saya dan Scha, ia bukan soal duit, tetapi soal prinsip,” katanya.

Berkongsi mengenai pendekatan ketika melakukan jualan secara langsung di platform JAM,  Awal berkata, populariti yang dimiliki dirinya dan Scha membolehkan mereka tampil dengan cara yang lebih santai tanpa perlu menjerit atau melakukan gimik keterlaluan.

“Kadang-kadang saya tengok juga live orang lain di media sosial, ada yang sampai jerit-jerit. Memang bingit, tapi dalam masa sama orang jadi tertarik nak tengok apa yang dijual. Saya faham mereka yang belum dikenali mungkin perlu buat begitu untuk tarik perhatian.

“Tapi dengan adanya Awal dan Scha yang orang dah kenal, kita tak perlu buat macam itu. Bila orang nampak muka kita lalu sahaja di timeline, secara automatik mereka akan berhenti sekejap untuk tengok,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Awal berkata, dia dan Scha kini merancang untuk mengembangkan platform jualan langsung JAM kepada lebih ramai selebriti menjana pendapatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN