PETALING JAYA: Gear Nerds Meetup Vol. 2 membuktikan minat terhadap dunia peralatan muzik atau gear di Malaysia terus berkembang apabila menghimpunkan pemain gitar, pemilik studio, jurutera bunyi, pengedar produk dan peminat teknologi audio di LBS Music World, Pulau Pinang, Ahad lalu.
Menurut kenyataan, selepas kejayaan penganjuran sulung di Sarang Keras, Bandar Pusat Jengka, Pahang, program itu kembali dengan skala lebih besar menerusi pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi produk, sesi soal jawab, perkongsian pengalaman dan peluang mencuba sendiri pelbagai peralatan muzik digital serta analog.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah perkongsian oleh gitaris Cromok, Shah Sidious, yang memperkenalkan keupayaan Kemper Profiler Stage dalam menghasilkan pelbagai karakter tona gitar tanpa memerlukan penggunaan beberapa amplifier ketika membuat persembahan.
Program itu turut dimeriahkan dengan demonstrasi daripada gitaris Tebabo, Apek, yang memperagakan keupayaan NUX MG-50Li.
Walaupun berada dalam kategori multi-effects mampu milik, peranti itu berjaya membuktikan kualiti tona, ciri dan prestasinya mampu bersaing dengan produk berharga jauh lebih tinggi.
Menurut gitaris itu, Shah Sidious berkata, Gear Nerds Meetup memberi penekanan terhadap pendidikan komuniti selain membuka ruang kepada pemuzik daripada pelbagai latar belakang bertukar ilmu dan pengalaman.
Katanya, perkembangan teknologi hari ini memberi lebih banyak pilihan kepada pemuzik, namun mereka perlu memahami fungsi setiap peralatan sebelum membuat pelaburan.
“Dunia muzik sentiasa berubah, jadi jika kita terbuka untuk belajar, kita akan sedar teknologi sekarang sebenarnya memudahkan kerja pemuzik sama ada di studio ataupun ketika membuat persembahan secara langsung,” katanya.
“ Pengunjung turut mengikuti demonstrasi daripada ZFX Industries yang memperkenalkan pelbagai pedal efek selain berkongsi tip memilih peralatan mengikut genre muzik dan bajet pengguna,” katanya dalam kenyataan media.
Acara berkenaan kemudian diakhiri dengan persembahan khas kumpulan rock Tebabo yang menutup program dalam suasana santai.
Sementara itu, wakil penganjur, Deadzid berkata, kejayaan Gear Nerds Meetup tidak diukur berdasarkan jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya sejauh mana program itu berjaya menyatukan komuniti muzik tempatan.
“Edisi pertama di Sarang Keras memberi keyakinan kepada kami bahawa komuniti ini benar-benar wujud dan terus berkembang. Sebab itu kami membawa Gear Nerds Meetup ke Pulau Pinang supaya lebih ramai pemuzik di utara dapat menyertainya.
“Ramai pemain gitar dan pemuzik di Malaysia mempunyai minat yang sama terhadap dunia gear, namun mereka tidak mempunyai platform untuk berkumpul dan berkongsi ilmu. Sebab itu Gear Nerds Meetup diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan dua edisi pertama menjadi pemangkin kepada NF Venture untuk memperluaskan penganjuran Gear Nerds Meetup ke negeri-negeri lain.
Gear Nerds Meetup Vol. 2 dianjurkan NF Venture dengan sokongan Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, ZFX Industries serta LBS Music World sebagai penaja lokasi.
Penganjuran itu mencerminkan usaha memperkukuh ekosistem muzik tempatan menerusi platform yang memberi tumpuan kepada pendidikan, perkongsian ilmu dan pembangunan komuniti gearheads.










