KUALA LUMPUR: Memasuki minggu terakhir tayangan drama Ikatan Terlarang, watak Rasyid, lakonan Alif Hadi, muncul antara karakter yang paling mencuri perhatian penonton susulan perubahan drastik perjalanan hidupnya.
Daripada seorang lelaki yang sering mengundang kemarahan penonton kerana tindakannya mencetuskan pelbagai masalah dalam keluarga, Rasyid akhirnya menjadi antara watak paling disayangi. Malah, kematian watak tersebut turut mengundang kesedihan dalam kalangan penonton yang sebelum ini tidak menyenanginya.
Menurut Alif, 38, perubahan penerimaan penonton terhadap Rasyid merupakan antara perkara paling tidak dijangkakannya sepanjang drama berkenaan ditayangkan.
“Paling seronok apabila saya melihat perubahan penerimaan penonton. Saya membaca banyak komen di Threads. Ramai yang mengaku pada mulanya membenci Rasyid kerana dia sering menimbulkan masalah dalam keluarga.
“Tetapi apabila cerita berkembang, penonton mula memahami mengapa dia menjadi begitu. Malah, ramai berpendapat Rasyid sebenarnya ‘hero’ yang banyak menyelamatkan keluarga dan membantu Azura mendapatkan semula syarikat,” katanya.
Alif berkata, dia turut terharu apabila penonton memberikan perhatian terhadap setiap perincian membabitkan wataknya sehingga babak-babak kecil turut menjadi bahan perbualan.
“Babak mata dicucuk dan ditampar, semuanya penonton perasan. Apabila orang mula bercakap mengenai karakter yang kita bawakan, itu memberikan satu kepuasan kepada saya sebagai pelakon,” katanya.
Mengulas mengenai perjalanan emosi Rasyid, Alif berkata, karakter berkenaan berdepan pelbagai konflik dalaman termasuk kemurungan, kekecewaan terhadap keluarga, kegagalan dalam perniagaan dan hakikat bahawa dirinya mandul.
Katanya, semua tekanan tersebut sedikit sebanyak membentuk keperibadian Rasyid yang dilihat tidak stabil pada peringkat awal penceritaan.
“Dia bukan jahat, dia cuma kesunyian dan mentalnya tidak stabil. Selepas Azura mula memberikan semangat, dia cuba berubah menjadi manusia lebih baik tetapi ujian terus datang bertimpa-timpa,” katanya.

Mengakui karakter Rasyid jauh berbeza daripada keperibadian sebenarnya, Alif turut menitipkan pesanan kepada golongan lelaki yang mungkin sedang berdepan dilema dan tekanan hidup seperti watak tersebut.
“Kena kuat, kena sabar dan jangan mengikut emosi. Percayalah setiap perkara yang berlaku adalah perancangan Allah dan pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, Alif mengakui hubungan rapat yang terjalin antara barisan pelakon Ikatan Terlarang turut membantu menghidupkan emosi sepanjang penggambaran drama arahan Riza Baharudin tersebut.
Menurutnya, hampir 80 peratus penggambaran dilakukan di dalam rumah bersama pelakon lain menyebabkan hubungan mereka menjadi begitu akrab sehingga terasa seperti sebuah keluarga sebenar.

Justeru, biarpun perjalanan Rasyid berakhir secara tragis, Alif mengakui karakter tersebut masih meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.
Bukan sahaja mencetuskan kejutan dalam jalan cerita, Alif berkata, watak Rasyid turut membawa ‘plot twist’ tersendiri dalam perjalanan kerjaya seninya apabila membuka lebih banyak peluang lakonan.
“Ramai sebelum ini tidak pernah melihat saya berlakon menerusi platform atau slot drama yang besar. Apabila orang mula nampak bakat dan menghargai usaha saya, rasa penat selama lebih 15 tahun seperti terbalas.
“Saya tidak perlukan apa-apa balasan. Cukuplah orang menghargai kerja saya. Alhamdulillah, sekarang tawaran juga semakin banyak,” katanya.
Ikatan Terlarang merupakan drama 28 episod terbitan iFAME (iFabulous Art, Media & Event) yang disiarkan menerusi slot MegaDrama di Astro Ria.
Drama tersebut turut dibintangi Erysha Emyra sebagai Azura, Hisyam Hamid sebagai Lukman, Mawar Rashid sebagai Bella, selain Raja Azura dan Arash Mohamad.










