PETALING JAYA: Pelakon dan bekas peserta Dewi Remaja 2025, Sharmaine Alaxander enggan mengehadkan potensinya dalam satu bidang sahaja, namun memilih untuk mencuba pelbagai peluang kerjaya secara serentak.
Sharmaine atau Sharmaine Ilenna Rudy Alexander, 26, berkata, dia bakal memulakan tugas sebagai pensyarah sambilan bagi penuntut Sarjana Muda Undang-Undang Pengajian Jarak Jauh (PJJ) bermula Oktober depan.
Katanya, komitmen tersebut tidak akan mengganggu kerjaya seninya kerana jadual mengajar hanya melibatkan kira-kira tujuh sesi pertemuan dalam satu semester.
“Saya rasa kita tidak sepatutnya meletakkan diri dalam satu kotak sahaja. Saya boleh jadi apa sahaja yang saya mahu dan saya sekarang ini bercadang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat PhD sambil berlakon.
“Usia saya baru 26 tahun dan masih muda, jadi saya perlu cuba semua bidang. Saya tidak pernah mengehadkan kemampuan diri saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sharmaine berkata, tugas sebagai pensyarah sambilan tersebut merupakan satu peluang terbaik untuk dirinya menimba pengalaman baharu.
“Tugas sebagai pensyarah sambilan ini bukan komitmen penuh kerana saya hanya perlu mengajar kira-kira tujuh kali sahaja dalam satu semester. Ini peluang bagus untuk saya ambil pengalaman mengajar, sambil terus berlakon.
“Bila berada di set penggambaran, kadang-kadang saya akan bawa laptop untuk semak tugasan pengajian. Semua ini sebenarnya bergantung kepada fikiran dan susunan masa kita,” katanya.
Untuk rekod, sebelum menyertai Dewi Remaja, Sharmaine mendapat pendidikan awal di Sabah sebelum melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang perundangan.
Sharmaine berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) dan seterusnya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Undang-Undang (LL. M) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada tahun 2026.










