Awal, Scha pengasas bersama JAM, terajui transformasi e-dagang live Bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Awal, Scha pengasas bersama JAM, terajui transformasi e-dagang live Bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti terkenal, Awal Ashaari dan Scha Alyahya melangkah ke fasa baharu dalam dunia keusahawanan apabila diumumkan sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung (live commerce), JAM.

Pelantikan itu sekali gus menyaksikan kedua-duanya menerajui usaha memperluaskan operasi syarikat ke pasaran pengguna berbahasa Melayu menerusi pelancaran JAM Bahasa.

Penglibatan Awal dan Scha bukan sekadar sebagai wajah kempen, sebaliknya mereka turut memainkan peranan penting dalam membentuk strategi serta hala tuju syarikat bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, kerjasama dengan pasangan selebriti itu merupakan langkah strategik syarikat untuk menembusi pasaran Melayu yang mempunyai potensi besar, selain membuktikan keyakinan terhadap model perniagaan yang mampu diperluaskan ke pelbagai pasaran.

“Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia dan menawarkan peluang pasaran yang amat luas, namun segmen e-dagang live premium masih belum diteroka sepenuhnya.

“Apa yang membakar semangat kami ialah model perniagaan ini sebenarnya bersifat universal. Kami akan mengguna pakai formula kejayaan yang telah terbukti dalam segmen KOL berbahasa Cina, memperkasakannya menerusi elemen lokalisasi sebelum membawanya ke pasaran Melayu.

“Jika strategi ini berjaya diaplikasikan daripada satu komuniti ke komuniti lain dalam negara yang sama, ia menjadi bukti kukuh bahawa model perniagaan kami mempunyai kebolehskalaan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Scha berkata, penglibatannya sebagai pengasas bersama didorong keyakinan terhadap potensi e-dagang penstriman langsung sebagai masa depan industri runcit digital, selain hasrat membangunkan platform yang memberi manfaat kepada pengguna dan jenama tempatan.

“Pengguna hari ini mahukan cadangan produk yang tulen serta pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif. E-dagang live merapatkan jurang komunikasi secara langsung antara pengguna dan jenama.

“Pada pandangan saya, pasaran berbahasa Melayu masih mempunyai ruang pertumbuhan yang sangat besar.

“Sebagai pengasas bersama, saya turut terlibat dalam mencorakkan hala tuju perniagaan syarikat. Ini adalah usaha untuk membina platform yang dipercayai serta mampu memberikan nilai kepada pengguna dan jenama tempatan,” katanya.

Pelantikan Awal dan Scha diumumkan serentak dengan pelancaran rasmi JAM Bahasa yang menjadi langkah terbesar syarikat untuk menembusi pasaran pengguna berbahasa Melayu selepas mencipta kejayaan dalam komuniti berbahasa Cina.

Bagi menyokong perkembangan itu, JAM turut membuka studio produksi penstriman langsung eksklusif seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi 13 bilik produksi, sekali gus memperkukuhkan keupayaannya menawarkan penyelesaian e-dagang penstriman langsung secara menyeluruh kepada jenama dan pencipta kandungan.

Ditubuhkan pada April 2024, JAM kini berkembang sebagai rangkaian multi-saluran (MCN) yang menguruskan kandungan di platform TikTok, Shopee, Lazada dan Instagram.

Syarikat itu merekodkan nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM3.5 juta pada tahun pertama operasinya sebelum mencatatkan pertumbuhan tiga kali ganda pada tahun kedua susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan e-dagang penstriman langsung profesional.

Dengan gabungan pengalaman pengasas asal serta pengaruh dan kredibiliti Awal Ashaari dan Scha Alyahya, JAM optimis mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju live commerce premium di Malaysia sebelum melebarkan operasi ke pasaran Asia Tenggara menjelang 2027.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN