PETALING JAYA: Pelakon, Zahiril Adzim mendedahkan hasratnya untuk menceburkan diri dalam perniagaan mesin layan diri (vanding machine) meskipun menyedari keuntungan yang bakal diperoleh daripada bidang tersebut tidaklah sekencang mana.
Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 42, berkata, dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan menyediakan sebuah mesin layan diri terlebih dahulu sebagai permulaan, biarpun jangkaan pulangan yang bakal diterimanya nanti adalah kecil.
“Perniagaan mesin layan diri ini saya tahu untungnya tidaklah besar mana. Kalau setakat letak sebuah mesin sahaja, memang tidak akan untung sangat pun.
“Tidak mengapalah kalau tidak mendapat keuntungan yang besar, asalkan perniagaan ini tidak rugi. Pendapatan itu nanti bolehlah dibuat duit belanja mengisi minyak kenderaan dan membeli kopi,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Zahiril berkata, keputusan itu dibuat demi kemudahan dirinya sendiri yang sering berhadapan masalah untuk mendapatkan minuman di kawasan berkenaan sebelum ini.
“Tempat untuk meletakkan mesin itu sudah ada tetapi saya tahu tidak ramai orang di situ. Cumanya saya hendak letak juga sbb saya sendiri hendak minum,” katanya.
Sementara itu, Zahiril sempat bertanya sekiranya ada mana-mana pihak yang tahu di mana dia boleh mendapatkan mesin layan diri terpakai tersebut.
“Adakah perancangan saya itu okay? Ada yang tahu di mana mahu cari mesin layan diri yang terpakai dan tanpa tunai?,” katanya.
Untuk rekod, Zahiril merupakan antara pelakon gred A yang cukup dikenali menerusi filem-filem popular seperti KAMI The Movie, Bunohan, Pekak, Juvana serta filem aksi hebat, MALBATT: Misi Bakara.










