Yusuf Haslam tepis dakwaan Gerak Khas 2.0 guna pengaruh - Utusan Malaysia

Yusuf Haslam tepis dakwaan Gerak Khas 2.0 guna pengaruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam menafikan dakwaan menggunakan pengaruh atau ‘kabel’ bagi memastikan drama Gerak Khas yang telah menjangkau 22 dekad itu diteruskan menerusi kolaborasi bersama stesen televisyen TVS.

Yusof atau Mohd Yusof Md Haslam Khan, berkata, kesinambungan drama tersebut yang kini muncul dengan jenama baharu Gerak Khas 2.0 adalah berdasarkan merit dan rekod penilaian penonton yang tinggi, bukannya atas faktor hubungan dalaman.

“Bukan isu kabel, walaupun kadang-kadang mempunyai kenalan itu bagus, tetapi mahu sambung kabel apa lagi? Kamu ingat stesen TVS itu bapa saya punya?

“Dahulu waktu RTM berada di fasa terbaik pun drama saya juga berdepan kesulitan, jadi kenapa waktu itu orang tidak kata saya ada kabel? Saya tidak pernah menggunakan orang dalam, laluan itu sudah tertutup dan memang tiada istilah kabel,” katanya.

Yusof Haslam berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Gerak Khas 2.0 di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai cabaran di RTM, Yusof mendedahkan ada pihak pengurusan tertinggi stesen berkenaan yang pernah menyuarakan hasrat untuk menghentikan penerbitan drama tersebut atas alasan tertentu.

Bagaimanapun, keputusan itu berubah selepas rekod menunjukkan drama kepolisan terbitan Skop Productions tersebut sentiasa mencatatkan kedudukan rating yang sangat memuaskan.

“Pihak pengurusan RTM pun sudah silih berganti dan ramai penerbit yang datang berjumpa saya bercakap mengenai pengaruh kabel besar, tetapi saya kata saya tiada semua itu. Malah, ada yang pernah berkata mahu menghentikan penerbitan Gerak Khas kerana mendakwa siri ini banyak masalah.

“Bagaimanapun, pihak RTM memberitahu bahawa program ini mempunyai kedudukan rating yang sangat tinggi sebagai rancangan utama. Apabila pihak pengurusan melihat semula rekod rating tersebut, barulah mereka sedar ia adalah rancangan utama dan segalanya kembali berjalan seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gerak Khas 2.0 bakal menyaksikan kemunculan semula wajah-wajah ikonik termasuk Datuk Dr. Yusof Haslam sendiri, Dato’ Hans Isaac, dan Erra Fazira dan menampilkan bakat generasi muda seperti Anding Indrawani, Nabiha Aimi, serta pelakon kelahiran Sarawak, Marzella Sigai.

Untuk rekod, Gerak Khas 2.0 akan ditayangkan bermula 3 Julai 2026, setiap Jumaat secara eksklusif di TVS serta menerusi aplikasi TVS INSPIRE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN