SHAH ALAM: Kejayaan Anggrek menjuarai program Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2) bukan sahaja membanggakan ibunya, penyanyi Adira Suhaimi, malah membuka mata ramai terhadap bakat luar biasa yang dimiliki kanak-kanak itu pada usia muda.
Mengakui masih terkejut dengan pencapaian tersebut, Adira berkata, segala ganjaran yang diterima hasil kemenangan itu adalah milik Anggrek sepenuhnya dan akan digunakan sebaik mungkin pada masa akan datang.
“Terus-terang, saya masih belum tahu apa yang akan dilakukan dengan wang kemenangan itu. Namun yang pasti, ia memang milik Anggrek.
“Buat masa ini, berilah kami sedikit masa untuk berfikir kerana kami sendiri tidak menjangkakan kemenangan ini. Mungkin nanti kami akan berbincang bersama Anggrek mengenai perkara itu.
“Apa pun, wang tersebut memang hak dia sepenuhnya, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai konsert akhir TTMM2 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam Ahad.
Menurut penyanyi lagu Pujaan Hati itu, dia tidak pernah menyedari sepenuhnya potensi dimiliki anaknya sehingga menyaksikan sendiri kemampuan Anggrek mengharungi pelbagai cabaran sepanjang pertandingan berkenaan.
Katanya, kebolehan Anggrek menyampaikan pelbagai genre lagu, menghafal lirik serta menari dengan baik menjadi bukti bakat semula jadi yang dimiliki anaknya itu.
“Kalau bercakap secara jujur, saya memang tidak pernah menjangkakan dia sehebat ini. Semua ini adalah pinjaman dan anugerah daripada Allah SWT.
“Pada usia yang masih muda, dia sudah mampu menyanyikan pelbagai genre lagu, membuat persembahan di atas pentas, menghafal koreografi dan lirik serta menampilkan ekspresi yang bersesuaian dengan persembahan.
“Malah, selepas 16 tahun berada dalam industri seni, saya sendiri belum tentu mampu melakukan semua itu seperti yang dilakukan olehnya. Sebab itu saya melihat Anggrek sebagai satu anugerah yang sangat istimewa,” katanya.
Dalam masa sama, Adira menyifatkan Anggrek sebagai seorang kanak-kanak yang mempunyai jiwa penghibur dan begitu selesa apabila berada di hadapan penonton.
Jelasnya, meskipun tampil penuh keyakinan ketika membuat persembahan, personaliti Anggrek di luar pentas masih seperti kanak-kanak biasa.
“Karakter dia di luar pentas memang berbeza. Tetapi apabila berada di atas pentas, dia seolah-olah menjadi individu lain.
“Namun sebaik sahaja turun dari pentas, dia tetap Anggrek yang sama. Dia masih lagi anak Adira Suhaimi,” ujarnya.
Pada masa sama, Adira turut memaklumkan dia sudah mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan perjalanan karier seni Anggrek dapat diuruskan dengan baik tanpa mengabaikan aspek pendidikan dan perkembangan dirinya sebagai kanak-kanak.










