Terharu peminat sanggup ‘battle’ beli tiket konsert, mahu menangis pun ada - Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Terharu peminat sanggup ‘battle’ beli tiket konsert, mahu menangis pun ada – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Siti Nurhaliza mengakui terharu dan sebak apabila melihat kesungguhan peminat yang sanggup ‘bertarung’ mendapatkan tiket Konsert Gema Bumantara yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober depan di Stadium Nasional TMNasional Bukit Jalil.

Menurut Siti, gelagat  yang dikongsikan peminat di media sosial ketika berebut membeli tiket secara dalam talian cukup menyentuh perasaannya kerana menggambarkan sokongan luar biasa yang tidak pernah putus sepanjang perjalanan seninya.

“Terharu ada, nak menangis pun ada, kelakar pun ada. Sebab mereka rakam, kita pun buat cabaran untuk mereka rakam momen mereka ‘battle’ tiket. Saya sempat tengok di Threads, ada yang sangat yakin boleh dapat tiket, tetapi akhirnya tak dapat. Memang sangat mendebarkan melihat reaksi mereka.

“Apa yang pasti, saya rasa sangat terharu sebab rakyat Malaysia, khususnya peminat-peminat tak pernah berhenti memberikan sokongan.

“Apabila tengok kesungguhan mereka, siap menyimpan duit semata-mata nak beli tiket konsert saya, saya rasa saya tak boleh hampakan mereka. Itu yang bermain dalam fikiran saya setiap kali melihat video dan perkongsian mereka,” katanya.

Siti berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran CSR CUCKOO dan lagu baharunya yang berjudul Be Like Water bersama Firdhaus di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tular seorang peminat yang dipercayai beratur di laman sesawang bagi membuat pembayaran tiket dalam jumlah yang besar, Siti beranggapan individu terbabit mungkin membantu rakan-rakan lain mendapatkan tiket.

“Saya rasa dia beli untuk kawan-kawan juga atau pun dia ambil tugas untuk ‘battle’ beli tiket. Memang ada peminat-peminat Siti yang datang secara berkumpulan. Lebih-lebih lagi mereka yang ada kad bank Affin, mereka nak jadi antara orang pertama yang boleh pilih ataupun beli tiket.

“Kadang-kadang sistem tiket ini bukan boleh pilih sesuka hati. Bila sistem beri ruang untuk tempat duduk yang kosong, itulah tempat yang mereka akan dapat. Ada juga tempat duduk berdekatan dah habis, jadi sistem bagi tempat yang lebih jauh. Kalau ada yang betul-betul perlukan bantuan, mungkin bolehlah berbincang dengan pihak Tiket2U,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Anta Permana itu turut tersentuh apabila membaca luahan seorang peminat di Threads yang bergurau sanggup mengeluarkan simpanan KWSP demi membeli tiket konsert berkenaan.

Katanya, dia sendiri membalas hantaran tersebut dengan berjanji akan memberikan persembahan terbaik sebagai menghargai pengorbanan peminat.

“Ya, saya ada balas hantaran dia. Saya cakap saya tak akan hampakan, saya akan buat yang terbaik untuk peminat saya. Sebenarnya, lebih daripada itu saya boleh katakan konsert ini juga adalah sumbangan saya kepada budaya dan negara Malaysia.

“Saya nak tunjukkan walaupun kita menyanyikan lagu tradisional, kita tetap mampu membawanya ke satu tahap yang tinggi menerusi persembahan berskala besar.

“Insya-Allah saya harap pihak Tourism Malaysia juga boleh sama-sama berbangga dengan usaha yang saya buat bersama pasukan produksi.

“Saya buat konsert ini bukan untuk diri saya seorang. Di sebalik sesebuah konsert, ramai yang mendapat manfaat.

“Seperti Konsert Legasi sebelum ini, lebih 2,000 pekerja terbabit, termasuk tenaga profesional yang bertungkus-lumus menjayakan persembahan. Jadi, inilah antara sumbangan yang saya harap dapat terus mengangkat industri seni dan budaya negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN