PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon, Zizan Nin, kecewa dengan tindakan seorang bekas pekerjanya yang didakwa bertindak tidak profesional dan cuba memutarbelitkan kenyataan selepas meletakkan jawatan.
Zizan atau Azizan Nin, 53, berkata, individu berkenaan telah menyekat akaunnya di platform Threads selain memuat naik hantaran yang dipercayai merujuk kepada nasihat dan teguran diterimanya sebelum meninggalkan syarikat.
“Ada bekas kakitangan saya sudah berhenti kerja semalam, kemudian dia menyekat saya di aplikasi Threads. Dia memang penakut. Siap buat hantaran kononnya saya ceramah dia pada hari terakhir dia.
“Dia sendiri tidak tahu membezakan antara ceramah dengan sesi soal jawab akhir. Malah, dia masih mahu berlagak sebagai mangsa keadaan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Dalam pada itu, Zizan menegaskan bahawa calon pekerja tidak sepatutnya menipu tentang kemampuan diri semata-mata mahu mendapatkan jawatan.
“Saya beritahu dia, lain kali semasa sesi temu duga, jika tidak boleh melakukan sesuatu tugasan itu jangan mengaku boleh, itu adalah satu penipuan.
“Walaupun berumur 45 tahun dan kononnya sudah senior, pekerja generasi Z adalah jauh lebih baik daripada dia.
“Pekerjaan baharu itu, dia temu duga pada hari Jumaat dan hari Isnin sudah mula bekerja, baguslah untuk dia. Selamat maju jaya kepada rakan sekerja dan majikan baharu awak nanti. Sudah-sudahlah berpura menjadi mangsa dan tunggang agama,” katanya.
Isu ini dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati Zizan terhadap prestasi dan sikap bekas pekerja senior tersebut yang enggan menerima teguran dan menggunakan alasan agama demi kepentingan diri.
Untuk rekod, Zizan Nin merupakan seorang pelakon, pengarah, dan penerbit yang kini aktif mengendalikan syarikat produksinya sendiri, Aquila Emas Sdn Bhd.










