Sudah terbayang, rumah saya akan sepi - Siti Nordiana - Utusan Malaysia

Sudah terbayang, rumah saya akan sepi – Siti Nordiana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi popular, Siti Nordiana, mengakui sudah mula membayangkan rasa sunyi yang bakal dirasakan apabila anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie,18, melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi tidak lama lagi.

Sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya seorang diri sejak kecil, Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, perasaan untuk melepaskan Rayyan bukan sesuatu yang mudah kerana mereka tidak pernah benar-benar berjauhan selama ini.

Menurut penyanyi berusia 41 tahun itu, meskipun sedar anaknya perlu meneruskan kehidupan dan membina masa depan sendiri, naluri seorang ibu tetap membuatkan dirinya berasa bimbang dan berat hati.

“Sebenarnya ia lebih kepada kerisauan seorang ibu. Saya pula seorang ibu tunggal dan hanya mempunyai seorang anak. Kami memang tidak pernah berjauhan, jadi apabila dia beritahu mahu tinggal di asrama dan memulakan kehidupan sebagai pelajar kolej, sudah tentu saya rasa risau dan takut juga.

“Selama ini, dia bukan sahaja anak, tetapi teman saya di rumah. Kami bergaduh, bergurau, berbual dan melakukan banyak perkara bersama. Jadi, memang sukar untuk saya membayangkan keadaan rumah nanti apabila dia sudah tiada setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah penyanyi agu Cinta Hanya Sandaran itu, dia memahami setiap ibu bapa perlu melalui fasa melepaskan anak-anak apabila tiba masanya.

Malah, Nana mengakui dirinya terpaksa belajar menerima hakikat bahawa Rayyan kini sedang melangkah ke alam dewasa dan memerlukan ruang untuk berdikari.

“Kalau anak seorang, mungkin perasaan itu lebih kuat sedikit. Pada awalnya memang saya tidak biasa dan rasa berat untuk melepaskannya. Tetapi saya sedar, saya tidak boleh menghalang dia daripada mengejar cita-cita dan membina masa depan sendiri.

“Dia pun mahu merasai pengalaman hidup berdikari. Jadi, saya kena belajar untuk menerima perkara itu walaupun dalam hati masih ada rasa sayang dan risau yang sangat besar,” ujarnya.

Menurut Nana, Rayyan bakal mengikuti program asasi perniagaan di sebuah kolej swasta sekitar Kuala Lumpur dan dijangka memulakan pengajian pada Ogos depan.

Walaupun lokasi pengajiannya tidak terlalu jauh, penyanyi itu mengakui pengalaman anaknya tinggal sendiri tetap memberi kesan emosi yang besar buat dirinya.

“Sebenarnya dia sambung belajar di Kuala Lumpur sahaja. Saya masih boleh pergi melawatnya setiap minggu dan dia juga boleh pulang ke rumah apabila ada masa. Tetapi untuk dia tinggal sendiri dan menguruskan kehidupan tanpa saya di sisi setiap hari, itu pengalaman yang baharu buat kami berdua.

“Sebelum ini memang tidak pernah berlaku. Jadi, saya rasa berdebar dan dalam masa sama cuba membiasakan diri dengan perubahan yang bakal berlaku,” katanya lagi.

Menariknya, Nana berkata perasaan yang dialaminya itu turut dikongsi ramai golongan ibu yang mengikuti media sosialnya.

Katanya, selepas berkongsi kebimbangan tersebut di TikTok, ramai pengguna meninggalkan komen dan mengakui melalui situasi yang sama apabila anak-anak melanjutkan pelajaran atau tinggal di asrama.

“Bila saya baca komen-komen di TikTok, rupa-rupanya ramai ibu yang senasib dengan saya. Ada yang beritahu mereka menangis apabila anak masuk asrama, ada yang mengaku rumah terasa sunyi dan kosong selepas anak berjauhan.

“Jadi saya rasa lega sedikit kerana tahu perasaan itu normal dan ramai ibu di luar sana sedang melalui perkara yang sama,” katanya.

Ditanya secara berseloroh sama ada rasa sunyi itu akan membuka ruang untuk dirinya mencari teman hidup, Nana hanya ketawa sebelum menafikannya.

“Tidaklah sampai begitu. Sunyi itu memang akan ada sebab saya sudah biasa dengan kehadiran dia di rumah. Tetapi mungkin lama-kelamaan saya akan dapat menyesuaikan diri. Buat masa ini saya lebih fokus melihat dia berjaya dalam pelajaran dan membina masa depannya sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nana kini giat mempromosikan lagu duet terbaharunya bersama Jaclyn Victor berjudul Setulusnya yang sudah dilancarkan di semua platform digital.

Menurutnya, kemunculan semula bersama Jaclyn dibuat selepas menerima permintaan tinggi daripada peminat yang menyukai keserasian mereka sejak kejayaan lagu Nisan Cinta.

Nana berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran besar terhadap pencapaian lagu tersebut, sebaliknya lebih menghargai peluang untuk terus berkarya dan menghargai peminat yang setia bersamanya sejak lebih dua dekad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN