PETALING JAYA: Penyanyi, Aepul Roza menyifatkan sikap sombong dan bongkak sesetengah individu sebenarnya sengaja dilakukan bagi menyembunyikan kelemahan diri mereka.
Aepul atau Noor Syaiful Mohd Zalaludin, 38, berkata, sikap sedemikian ditunjukkan semata-mata supaya golongan tersebut tidak merasa terlalu kecewa dengan kekurangan keadaan diri sendiri.
“Ada orang yang sememangnya akan menutup segala perasaan kurang yakin mereka dengan sifat sombong dan bongkak. Benda ini dilakukan supaya mereka tidak merasa terlalu kecewa dengan keadaan diri dia.
”Supaya dia ada perasaan ’saya lebih baik daripada awak, jangan datang kepada saya dan cakap mengenai kelemahan saya’. Dia bukan bodoh, dia sedar sahaja. Mahu bercakap sambil bernafas pun mereka terpaksa bergelut,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Dalam pada itu, vokalis kumpulan Drama Band ini menyimpulkan bahawa setiap individu sepatutnya menerima kekurangan diri dengan hati yang terbuka kerana ketidaksempurnaan itu adalah lumrah kehidupan.
”Kelemahan itulah yang menjadikan kita sebagai seorang manusia, jadi terimalah ia dengan hati yang terbuka. Sebenarnya adalah satu perkara yang menyeronokkan apabila kita menjadi tidak sempurna,” katanya.
Walau bagaimanapun, perkongsian daripada Aepul itu tidak diketahui ditujukan kepada siapa atau sekadar luahan pandangan peribadinya.
Untuk rekod, nama Aepul mula meningkat naik menerusi lagu-lagu hits ciptaannya bersama Drama Band seperti Biarkanlah dan Drama yang berjaya melangkah sehingga ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL34) pada tahun 2020.










