PETALING JAYA: Pelakon, Faye Kusairi mengakui dia kini sudah sampai ke tahap malas mahu melayan sebarang konflik dan memilih untuk angkat kaki sekiranya emosinya terus diguris.
Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 38, berkata, tindakan dia mendiamkan diri ketika ini bukanlah bermakna dia sedang berada dalam keadaan tenang.
Sebaliknya kata pelakon itu, sikap tersebut merupakan petunjuk jelas bahawa dia sudah mula tawar hati selepas segala peluang yang diberikan sebelum ini langsung tidak dihargai.
“Saya jenis manusia yang apabila marah, menegur, bercakap atau terasa hati, kiranya awak masih ada peluang untuk memperbaiki diri bersama saya. Tetapi, bila saya sudah diam, abaikan atau mengelak, tolong jangan ingat saya tenang.
“Maknanya saya sudah mengalah. Percayalah saya, saya tidak mudah untuk mengalah,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Perkongsian tersebut dibuat oleh Faye yang dipercayai sudah tidak tahan lagi menanggung rasa kecewa dan terkilan tetapi perkara ini masih tidak dikongsikan oleh Faye sama ada berhubung masalah peribadi ataupun sebaliknya.
Untuk rekod, Faye yang popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku telah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 April 2017 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.










