KUALA LUMPUR: Penyanyi irama tradisional, Noraniza Idris, mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk menyaksikan konsert tradisional Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, meskipun tidak pernah mengharapkan sebarang jemputan atau kemunculan istimewa dalam persembahan itu.
Menurut Noraniza, sokongan terhadap rakan seindustri tidak semestinya diterjemahkan melalui penglibatan di atas pentas, sebaliknya boleh dizahirkan dengan hadir sebagai penonton.
“Mungkin ada yang mengharapkan saya buat kemunculan istimewa, tetapi bagi saya tak payahlah. Industri muzik kita ini kecil sahaja. Kita boleh menyokong dalam apa juga cara, tak semestinya kena tunggu orang panggil atau beri tawaran.
“Bagaimanapun, saya akui, memang sudah lama hendak menonton konsert Siti. Sejak dia mula menganjurkannya bersama Allahyarham Pak Ngah lagi, setiap tahun saya memang teringin nak pergi,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Majlis Pelancaran Zapin Living Lab AKZ 6.0 di ibu negara, semalam.
Noraniza berkata, hasrat itu bukan sekadar mahu menikmati persembahan, sebaliknya ingin melihat sendiri formula kejayaan konsert berkenaan yang berjaya menarik ribuan penonton saban tahun.
“Siti ialah satu nama besar dan lagu-lagunya semua popular. Sebagai orang yang turut memperjuangkan Irama Malaysia, sudah tentu saya nak tengok bagaimana dia menarik penonton, bagaimana strategi konsert itu dibuat sehingga mampu menghimpunkan begitu ramai peminat.
“Saya selalu fikir dari sudut yang berbeza. Saya mahu belajar bagaimana Irama Malaysia boleh dipersembahkan dengan cara yang mampu menarik minat khalayak lebih besar,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Awallah Dondang dan Dikir Puteri itu berkata, hasratnya untuk hadir sebelum ini sering terbantut disebabkan kekangan jadual serta komitmen lain.
“Sampai tahun lepas punm saya memang ada hasrat nak pergi, cuma ada kekangan kerana program CSR dan beberapa komitmen lain. Tahun ini pula apabila konsert itu memasuki ulang tahun ke-10, memang teringin sangat nak hadir. Tengoklah keadaan nanti, Insya-Allah kalau ada kesempatan,”katanya.
Pada masa sama, Noraniza menegaskan dia tidak pernah meletakkan harapan untuk menerima undangan khas kerana percaya soal rezeki sudah ditentukan.
“Kalau tak ada tawaran pun tak apa. Saya akan sentiasa menyokong. Dari dulu lagi saya memang tak suka simpan harapan. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak ada pun tak mengapa. Saya tetap akan memberi sokongan dengan cara lain,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Siti yang akan berlangsung di Stadium TM Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober ini, Noraniza mengakui sentiasa mengagumi usaha penyanyi itu kerana memahami cabaran besar menganjurkan persembahan berteraskan muzik tradisional.
“Sejak awal lagi apabila dia mula buat konsert di Istana Budaya, saya sudah kagum. Kita yang pernah menganjurkan program tahu ia bukan mudah, apatah lagi membawa lagu-lagu Irama Malaysia.
“Hari ini orang lebih cenderung kepada lagu komersial dan popular. Sebab itu persembahan seperti ini memerlukan keseimbangan dan strategi yang baik. Apa yang dilakukan Siti memang sesuatu yang wajar diberikan penghargaan,” katanya.










