Saya rasa tidak adil jika enggan buat konsert - Faizal Tahir  - Utusan Malaysia

Saya rasa tidak adil jika enggan buat konsert – Faizal Tahir 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Auranya sebagai seorang bintang, sebenarnya sudah mewarnai industri muzik tanah air selama dua dekad ini. Pun begitu, Faizal Tahir mengakui dia sebenarnya sudah berada di fasa kehidupan yang jauh berbeza berbanding ketika mula-mula mencipta nama menerusi program realiti One in a Million (OIAM).

Malah, lebih mengejutkan, Faizal berkata, dia pernah berada pada tahap hampir meninggalkan terus dunia nyanyian dan persembahan pentas yang selama ini menjadikan namanya antara figura paling berpengaruh dalam industri hiburan tempatan.

Namun, atas rasa tanggungjawab terhadap peminat serta industri yang banyak membentuk perjalanan seninya, Faizal akhirnya memilih untuk kembali berdiri di hadapan ribuan penonton menerusi konsert berskala besar yang bakal berlangsung.

Menurut penyanyi berusia 48 tahun itu, keputusan untuk mengadakan konsert bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal, sebaliknya lahir daripada kesedaran bahawa masih ada perkara yang ingin dikongsikan kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokongnya.

“Saya akhirnya sedar, perasaan yang paling sukar untuk dibuang dalam diri adalah  rasa tanggungjawab. Saya rasa tidak adil untuk jika saya, seorang anak seni yang dah melalui macam-macam jatuh bangun dalam kerjaya saya tak mahu penuhi permintaan peminat.

“Sedangkan, ketika saya jatuh, ada peminat-peminat yang angkat saya balik. Ada orang dalam industri yang tolong angkat nama saya semula. Itulah yang membuatkan saya rasa  ini sebagai satu tanggungjawablah.

“Sebab itulah saya bersetuju untuk buat konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat pada 3 Oktober ini di Stadium Unifi Bukit Jalil.Kalau tak ada benda yang saya rasa baik untuk dikongsikan, saya tak rasa akan buat konsert ini,” katanya.

Menurut Faizal, sejak tiga tahun lalu, ramai pihak datang dengan pelbagai cadangan untuk mengadakan konsert solo, namun dia tidak pernah benar-benar bersedia untuk melaksanakannya.

“Tetapi apabila Hitman datang dengan cadangan ini, saya fikir ada satu tanggungjawab sebagai seseorang yang sudah 20 tahun berada dalam industri.Pada masa yang sama, ia macam bila anak-anak minta sesuatu benda. Tiga tahun kita tak beri. Sampai satu tahap kita kata, ‘Okey, aku beri, lepas itu kau diam’.

“Mungkin itu perasaan saya. Tiga tahun orang minta saya buat konsert. Jadi saya buatlah. Lepas itu, jangan kacau saya,” katanya sambil berseloroh.

Di sebalik nada jenaka itu, terselit hakikat bahawa fokus kehidupan Faizal kini tidak lagi tertumpu sepenuhnya kepada dunia glamor dan sorakan penonton.

Sebaliknya, keluarga, anak-anak serta kehidupan yang lebih tenang menjadi keutamaan dalam fasa kehidupannya sekarang.

“Pada usia saya sekarang, Alhamdulillah, anak-anak saya dah besar. Saya ada banyak benda yang perlu saya fokuskan.Anak-anak perlukan saya dalam dunia yang sangat mencabar sekarang. Dengan teknologi dan macam-macam perkara yang berlaku, saya perlu pastikan mereka membesar dalam persekitaran yang baik.

“Saya rasa perlu ada lebih banyak masa dengan keluarga. Kalau nak cakap tentang minat, saya sekarang lebih suka bersendirian.

“Saya rasa ramai orang sekarang macam itu. Orang suka keluar dari Kuala Lumpur, suka cari tempat yang tenang, suka pergi tempat yang orang panggil healing, masuk hutan dan sebagainya.

“Minat saya sekarang lebih kepada alam semula jadi. Saya minat pertanian, bercucuk tanam, menternak kambing, menunggang kuda dan buat kerja-kerja di luar,” katanya.

Pengakuan tersebut sekali gus menjelaskan mengapa penyanyi lagu Gemuruh itu tidak lagi melihat persembahan pentas sebagai keutamaan utama dalam hidupnya.

Walaupun cintanya terhadap muzik tidak pernah pudar, Faizal mengakui minat sebenar yang membawanya memasuki industri sejak awal bukanlah untuk menjadi penyanyi popular.

Sebaliknya, dia memasang impian untuk menjadi penulis lagu dan penerbit yang berjaya.

“Saya memang cintakan muzik, tetapi saya tak boleh kata bahawa membuat persembahan di atas pentas adalah minat utama saya.Kalau orang ikut perjalanan saya sejak OIAM, mereka mungkin tahu bahawa saya sebenarnya lebih suka berada di belakang tabir.

“Matlamat nombor satu saya ketika itu adalah untuk menjadi seorang songwriter dan producer yang berjaya. Saya masuk OIAM hanya untuk mengetengahkan nama saya.

“Tetapi Allah lebih mengetahui perancangan untuk seseorang itu. Saya ikut perjalanan yang ditentukan dan Alhamdulillah saya dah dapat apa yang saya mahu. Saya dah jadi penulis lagu, penerbit dan sekarang ada label sendiri yang berjaya,” katanya.

Malah, Faizal turut membuat pengakuan mengejutkan apabila mendedahkan dirinya sebenarnya sudah hampir bersara sebelum ini.

Perkara itu diakui ketika mengimbau kemunculannya menerusi lagu Assalamualaikum di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), yang dianggap antara karya paling penting dalam perjalanan seninya.

“Sama macam ketika saya masuk AJL dengan lagu Assalamualaikum.Kalau nak jujur, sebenarnya saya dah bersara ketika itu. Tetapi apabila saya diyakinkan bahawa ada sebuah lagu yang mungkin berbeza daripada lagu-lagu lain yang masuk AJL sebelum itu, dan saya rasa ada mesej yang baik untuk disampaikan, maka saya gunakan platform AJL itu untuk menyampaikan lagu Assalamualaikum,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN