PETALING JAYA: Pengorbanan dalam mengetepikan seketika impian kerjaya demi menguruskan anak dan rumah tangga pernah meletakkan guru tari profesional dan koreografer terkenal, Linda Jasmine, berada pada fasa titik terendah dalam kerjayanya.
Linda atau Linda Jasmine Hashim Murad Mohamed Hashim, 54, berkata, dia pernah berhadapan dengan masalah keyakinan diri selepas melahirkan cahaya mata pertama pada usia 26 tahun.
“Selepas bersalin dan segalanya, saya rasa diri sangat gemuk. Saya rasa sangat hodoh dan menjadi seorang ibu muda tanpa sebarang bantuan.
“Saya serabut dekat rumah dengan rambut macam ini, macam itu dan tidak sempat hendak mandi atau apa-apa pun. Jadi, saya betul-betul rasa inilah dia, inilah pengakhiran kerjaya saya dan saya hanya akan menjadi seorang ibu,” katanya menerusi satu perkongsian dalam audio siar Borak Selebriti.
Tambah bekas isteri kepada Que Haidar ini, Linda mengakui tempoh dua hingga tiga tahun pertama selepas melahirkan anak merupakan waktu yang sangat sukar buat dirinya sebagai seorang wanita bekerjaya.
Katanya, sebelum mendapat tawaran menjadi guru tari bersama Akademi Fantasia, dia sebenarnya sudah mula mengajar tarian namun semangatnya tidak lagi sama seperti sebelum berkahwin.
”Dua tahun selepas bersalin, saya mendapat tawaran pertama untuk Akademi Fantasia. Tapi sebelum itu, saya pernah mengajar sini-sana namun saya tidak dapat rasa benda yang sama.
”Seperti yang saya katakan, saya sangat kurang yakin terhadap diri saya terutamanya mengenai penampilan dan merasakan impian saya sudah berakhir. Sejujurnya saya rasa, saya sudah melepasi zaman kegemilangan. Saya tidak boleh menari seperti biasa.” katanya.
Bagaimanapun, pusingan hidup Linda mula berubah sepenuhnya apabila dia menerima tawaran untuk menjadi tenaga pengajar bagi program realiti, Akademi Fantasia (AF).
“Tetapi saya buat AF, Alhamdulillah, semua macam okey. Saya rasa itu adalah satu permulaan dan nafas yang baru. Saya tak sangka langsung hidup saya akan berubah 360 darjah,” katanya.
Untuk rekod, nama Linda Jasmine amat sinonim dengan program realiti Akademi Fantasia apabila dia berkhidmat sebagai guru koreografi atau guru tari selama enam musim, bermula dari musim pertama (AF1) sehingga musim kelima (AF5), sebelum kembali semula untuk musim kelapan (AF8) dan musim kesebelas (AF2014).
Dalam perkembangan peribadi, Linda pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon terkenal, Que Haidar pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar serta Tengku Cleopatra Haidar, namun mereka disahkan bercerai talak satu pada 2 Julai 2024 selepas 15 tahun hidup bersama.










