Saya rasa bersalah dan berdosa tidak dapat ziarah Yassin Sulaiman - Faizal Tahir - Utusan Malaysia

Saya rasa bersalah dan berdosa tidak dapat ziarah Yassin Sulaiman – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir mengakui berasa kesal dan bersalah kerana masih belum berkesempatan menziarahi sahabat baiknya, Yasin Sulaiman, yang masih ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak bagi menjalani rawatan susulan selepas melalui proses perundangan yang panjang.

Menurut Faizal, hasrat untuk bertemu Yasin sudah lama terpendam, namun kekangan masa dan komitmen menyebabkan perkara itu masih belum dapat direalisasikan.

Katanya, perasaan bersalah itu semakin menebal kerana dia mengetahui Yasin amat menghargai kehadiran rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang berdepan ujian hidup.

“Saya sudah berkali-kali merancang untuk pergi melawat, tetapi masih belum ada rezeki untuk berbuat demikian. Terus-terang saya rasa sangat bersalah dan berdosa kerana tidak pergi menziarahinya selepas pertemuan kami di mahkamah dahulu. 

“Saya tahu dia gembira apabila melihat kawan-kawan datang memberi sokongan dan saya boleh memahami perasaan itu. Sebab itulah saya rasa terkilan kerana masih belum sempat meluangkan masa untuk bertemu dengannya di hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Faizal berkata demikian ketika mengimbau pertemuan terakhirnya dengan Yasin yang disifatkan sebagai antara detik paling bermakna dalam hidupnya.

Menurut penyanyi lagu Assalamualaikum itu, dia sempat menghadiri sesi terakhir prosiding mahkamah melibatkan Yasin dan menyifatkan hari tersebut sebagai satu pengalaman yang sukar dilupakan.

“Saya sangat rapat dengannya suatu ketika dahulu. Saya tahu bagaimana baiknya manusia bernama Yasin Sulaiman ini. Orang ramai mungkin hanya melihat satu kesilapan yang dilakukannya, tetapi saya mengenali dirinya sebagai seorang sahabat yang mempunyai banyak nilai positif. 

“Hari saya dapat bertemu dengannya di mahkamah itu merupakan antara hari yang paling membahagiakan dalam hidup saya kerana akhirnya saya melihat sendiri perkembangan positif yang berlaku dalam kesnya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Faizal turut menegaskan bahawa jasa dan sumbangan Yasin kepada industri hiburan tanah air tidak seharusnya dilupakan hanya kerana satu kesilapan yang pernah dilakukan.

“Dia seorang manusia yang banyak menyumbang kepada industri hiburan. Semua orang mempunyai kelemahan dan pernah melakukan kesilapan. Namun, janganlah kerana satu kesilapan itu kita terus melupakan segala perkara baik yang pernah dilakukannya. 

“Saya sendiri harus mengakui bahawa jika benar hari ini saya menjadi seorang yang lebih baik, Yasin adalah antara individu yang banyak membentuk cara saya berfikir dan melihat kehidupan,” katanya.

Tambah Faizal, hubungan persahabatan yang terjalin antara mereka bukan sekadar berkisar tentang dunia seni, malah turut melibatkan aspek kerohanian yang banyak memberi kesan kepada dirinya.

“Saya banyak bergaul dengannya dan dia sering berkongsi mengenai agama. Kami pernah solat bersama, membaca Al-Quran bersama dan dia juga menerangkan kepada saya maksud ayat-ayat Al-Quran. 

“Daripada situlah saya belajar banyak perkara dan berusaha menjadi insan yang lebih baik. Sebab itu saya sedih melihat seseorang yang pernah membimbing saya ke arah kebaikan berdepan dengan keadaan seperti ini.

“Apa yang saya mampu lakukan sekarang ialah terus mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan dan dia dapat dilepaskan daripada hospital secepat mungkin. Saya berharap dapat menziarahinya apabila mempunyai kesempatan nanti kerana dia tetap seorang sahabat yang sangat saya hargai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN