Saya memang selalu cakap tidak mahu jadi juara - Azeva - Utusan Malaysia

Saya memang selalu cakap tidak mahu jadi juara – Azeva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Penyanyi,  Azeva Natassha,25, mengakui sering menyatakan hasrat enggan bergelar juara sepanjang menyertai program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim kedua sehingga akhirnya menamatkan saingan di tempat keempat.

Menurut Azeva, keputusan yang diraih itu langsung tidak mengecewakannya kerana dia merasakan peserta lain telah memberikan komitmen dan usaha yang jauh lebih besar sepanjang pertandingan berlangsung.

“Saya melihat usaha rakan-rakan lain jauh lebih besar daripada usaha saya. Anggrek berlatih tanpa henti, pagi, petang, siang dan malam. Cik B pula sentiasa melaburkan masa dan tenaga serta memikirkan idea untuk setiap persembahan dari awal hingga akhir.

“Begitu juga Hussein dan Kim. Usaha mereka sangat luar biasa. Sebab itu saya benar-benar berharap mereka berjaya. Saya tidak kisah jika saya tidak menang, tetapi saya tahu mereka sangat menginginkan kemenangan tersebut.

“Saya amat gembira dengan kejayaan mereka, khususnya Anggerik. Dia benar-benar layak untuk kemenangan itu,” katanya.

Azeva berkata demikian ketika ditemui selepas konsert akhir TTMM musim kedua di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.

Sementara itu, ibunya yang juga usahawan terkenal, Datuk A Aida berkata, Azeva sememangnya kerap mengulangi ayat bahawa dia tidak mahu menjadi juara sepanjang menyertai program berkenaan.

“Dia memang selalu berkata bahawa dia tidak mahu menjadi juara. Sebab itu saya kata apa yang dia cakap itu seolah-olah menjadi kenyataan.

“Terus-terang,saya juga tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi. Apa jua keputusan yang diperoleh, saya tetap bangga dengannya kerana dia telah berjaya melangkah ke peringkat akhir.

“Saya tidak mengharapkan dia menjadi juara atau memperoleh kedudukan tertentu. Apa sahaja keputusan, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Selain itu, pengumuman kedudukan keempat yang diterima Azeva juga tidak menimbulkan sebarang rasa kecewa dalam dirinya kerana semua finalis mempunyai kelebihan masing-masing.

“Apabila diumumkan tempat keempat, saya hanya berkata, ‘Oh, kita tempat keempat? Baiklah.’ Saya benar-benar tidak berasa kecewa kerana semua peserta yang bertanding sememangnya hebat.

“Contohnya Anggrek, apabila dia membuat persembahan di pentas, kami yang lebih berusia pun terpegun melihat bakat dan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepadanya.

“Begitu juga dengan Cik B dan Hussein. Kami sudah mengetahui kemampuan masing-masing, sama ada dari segi persembahan mahupun vokal. Jadi, kami reda dengan keputusan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, A Aida memaklumkan perjalanan seni Azeva telah dirancang lebih awal meskipun tidak muncul sebagai juara program tersebut.

“Sebenarnya, minggu hadapan kami bercadang untuk merakamkan sebuah single baharu untuk Azeva, iaitu lagu Sejiwa versi Azeva. Selain itu, pada 1 Oktober nanti filem lakonannya akan ditayangkan dan dia juga akan menyanyikan lagu tema filem tersebut.

“Itu akan menjadi single keduanya. Semua perancangan ini memang telah kami susun lebih awal.Selepas itu, insya-Allah, dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi, kami merancang untuk mengeluarkan lagu duet bersama Zaki Yamani,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN