PETALING JAYA: Pelakon, Datin Intan Najuwa menjelaskan dirinya tidak bermaksud mahu mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai, terutama kaum ibu mengenai kaedah kelahiran secara normal selepas Caesarean atau czer (VBAC).
Kata Intan, perkongsiannya yang terdahulu hanya sekadar untuk meminta tips atau cadangan yang boleh memudahkan seorang ibu hamil untuk bersalin secara normal untuk kelahiran kedua selepas menjalani kaedah pembedahan pada kelahiran pertama.
“Saya hanya bertanya dan meminta tips daripada ibu-ibu yang pernah melalui pengalaman VBAC kerana doktor saya telah memberi lampu hijau untuk saya mencubanya. Sudah tentu saya gembira untuk meneroka pilihan itu. Tetapi itu tidak bermakna saya menolak pembedahan Caesarean (C-section).
“Anak pertama saya dilahirkan melalui pembedahan Caesarean kerana pada waktu itu keutamaan saya adalah sama seperti sekarang, iaitu memastikan ibu dan bayi selamat serta sihat. Malah, saya sendiri yang terus bersetuju apabila doktor mencadangkannya,” katanya di Threads.
Tambah Intan, perkongsian spontannya sebelum ini sekadar untuk dirinya membuat persiapan lebih awal andai mempunyai rezeki untuk menggunakan kaedah tersebut ketika melahirkan anak keduanya nanti.
“Perkongsian itu tiada kaitan dengan ‘terlalu mahu bersalin normal’ atau mahu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Jika saya berpeluang merasai pengalaman VBAC, Alhamdulillah.
“Jika tidak, itu juga tidak mengapa. Pada akhirnya, saya akan sentiasa mengikut nasihat doktor dan memilih apa yang paling selamat untuk ibu serta bayi,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Jesnita itu juga menafikan perkongsian itu dibangkitkan kerana sengaja mahu mencetuskan perdebatan yang melibatkan cara pemikiran setiap kaum dalam perihal kelahiran.
“Selain itu, perkara ini langsung tiada kaitan dengan bangsa atau ‘mentaliti orang Melayu’. Saya mempunyai kawan daripada pelbagai kaum dengan pilihan dan pengalaman yang berbeza-beza.
“Ada yang memilih kelahiran normal, ada yang memilih pembedahan Caesarean, dan ada juga yang sekadar mengikut pilihan yang paling selamat apabila tiba waktunya.
“Saya sebenarnya hanya bertanya tentang tips VBAC, bukannya mahu cetusjan perdebatan mengenai bangsa, kaedah kelahiran atau cara pemikiran,” ujarnya.










