RTM mohon maaf gangguan teknikal ketika siaran langsung Piala Dunia 2026 - Utusan Malaysia

RTM mohon maaf gangguan teknikal ketika siaran langsung Piala Dunia 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf kepada orang ramai ekoran berlakunya gangguan teknikal pada platform RTMKlik ketika siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Senegal, pada pukul 3 pagi tadi.

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesulitan yang dialami oleh penonton.

“Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf atas gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan antara Perancis dan Senegal pada pukul 3 pagi tadi.

“Gangguan tersebut berpunca daripada masalah teknikal luar jangka yang menyebabkan sebahagian pengguna mengalami kesukaran untuk mengakses siaran secara lancar melalui RTMKlik.

“Pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan bagi memulihkan perkhidmatan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam kenyataan yang sama, Ashwad menghargai segala maklum balas yang diterima sepanjang tempoh gangguan berlaku, selain memahami kekecewaan yang dialami penonton.

Tambah Ashwad, pihak RTM akan terus memperkukuhkan aspek teknikal dan pemantauan sistem bagi memastikan kelancaran siaran langsung sepanjang kejohanan berlangsung di seluruh negara.

“RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut.

“Pihak kami amat menghargai kesabaran, sokongan dan maklum balas yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku.

“Sebagai penyiar rasmi kejohanan paling berprestij dunia ini, RTM sentiasa komited untuk memastikan pengalaman tontonan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sebelum ini, RTM dipilih sebagai penyiar utama Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia bagi memastikan akses tontonan yang lebih meluas dan inklusif kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani.

Menurut Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, Unifi TV turut menjadi rakan penyiar untuk memperluaskan liputan siaran kejohanan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN