KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini mempersoalkan tindakan segelintir guru yang mendedahkan senarai nama pelajar yang gagal peperiksaan secara terbuka menerusi kumpulan WhatsApp kelas.
Perkara itu dibangkitkan selepas seorang pengguna media sosial Threads meminta pandangan orang ramai berhubung tindakan guru berkongsi nama pelajar yang gagal dalam peperiksaan dengan alasan untuk memberi motivasi dan mendorong mereka meningkatkan prestasi akademik.
Mengulas isu tersebut, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohd. Mokhtar, 50, berpendapat tindakan berkenaan bukan sahaja boleh menjejaskan maruah pelajar, malah turut memberi kesan kepada ibu bapa yang terlibat.
“Tak perlu letak nama pelajar yang gagal dalam kumpulan WhatsApp. Apa kebaikannya?
“Dalam kumpulan WhatsApp itu ada pelbagai jenis orang. Nanti mulalah timbul gosip seperti, ‘Tengok nama anak dia dalam senarai, rupanya dia tak pandai’.
“Lepas itu ibu bapa pula bercerita kepada anak-anak dan akhirnya perkara itu menjadi bahan perbualan di sekolah. Guru yang buat macam ini tak fikir panjang ke?” katanya menerusi hantaran di Threads.
Menurut Rita, maklumat berkaitan prestasi akademik pelajar sepatutnya disampaikan secara peribadi kepada ibu bapa dan bukannya didedahkan secara terbuka dalam kumpulan komunikasi kelas.
“Perkara seperti ini boleh dimaklumkan secara personal kepada ibu bapa pelajar tersebut.
“Ini bukan sahaja menjatuhkan maruah ibu bapa, malah turut menjatuhkan maruah pelajar. Tak reti ke nak jaga air muka orang?
“Tak ada langsung kebaikannya. Jagalah kesihatan mental budak-budak,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Rita turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah memberikan pandangan apabila sesuatu isu tidak melibatkan diri sendiri atau ahli keluarga mereka.
Katanya, kebanyakan individu cenderung memberikan pelbagai reaksi dan pendapat apabila perkara tersebut berlaku kepada orang lain, namun situasinya berbeza apabila melibatkan anak sendiri.
“Kadang-kadang bila benda itu tak kena pada anak sendiri, macam-macam kita boleh cakap.
“Tetapi bila kena pada diri sendiri dan anak sendiri, mulalah melompat.
“Penting untuk kita cuba meletakkan diri dalam situasi orang lain,” ujarnya.










