PETALING JAYA: Pelakon, Alif Hadi mendedahkan watak Rashid yang dijayakan menerusi drama Ikatan Terlarang berkait rapat dengan kisah peribadinya dalam perhubungan.
Menurut Alif, pengalaman dikhianati pasangan suatu ketika dahulu menjadi antara faktor utama yang memudahkan dirinya membina hubungan emosi dengan watak tersebut.
“Sejujurnya, watak Rashid ini, saya pernah mengalaminya sendiri. Jadi saya tahu bagaimana perasaannya.
“Ada banyak perkara yang Rashid lakukan sebenarnya adalah perkara yang mungkin saya sendiri mahu lakukan suatu ketika dahulu, tetapi saya tidak mampu meluahkannya kerana cara saya dibesarkan tidak begitu.
“Jadi dalam watak Rashid itu, ada sedikit Alif Hadi. Terutamanya apabila melibatkan isu kecurangan. Saya boleh memahami perasaannya kerana saya pernah melaluinya sendiri.
“Sebab itu hubungan saya dengan watak ini sangat kuat. Saya tidak dapat meluahkannya dalam kehidupan sebenar, tetapi kali ini saya dapat meluahkannya melalui watak dengan cara yang betul,” katanya.
Alif berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program MeleTOP di Astro Bukit Jalil, Selasa lalu.
Alif bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai individu yang terlibat dan memilih untuk menjadikan pengalaman itu sebagai sumber inspirasi dalam lakonannya.
“Saya tidak menyebut nama sesiapa. Ia hanya berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri. Dan perkara itu memang pernah berlaku beberapa kali.
Jadi saya faham perasaan tersebut.
“Kalau orang mahu membuat andaian atau berdebat mengenainya, itu pilihan mereka. Saya hanya bercakap mengenai hubungan antara pengalaman hidup saya dengan watak Rashid,” katanya.
Sama seperti individu lain, Alif juga mengakui dirinya melalui fasa sukar untuk pulih dari luka pengkhianatan tersebut, namun menjadikan kegagalan dalam percintaan itu sebagai pengajaran dalam hidupnya.
“Bagi saya, ada luka yang sebenarnya tidak pernah sembuh sepenuhnya. Ia hanya menjadi pengajaran hidup. Pengajaran supaya kita lebih berhati-hati dalam memilih pasangan selepas ini.
“Tetapi kadang-kadang kita sudah memilih yang dirasakan betul, akhirnya tetap tidak menjadi. Jadi saya rasa kita hanya perlu menerima bahawa perkara itu adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya.
Bagaimanapun, Alif memberitahu dia tidak pernah menutup pintu hati untuk membina kehidupan berkeluarga pada masa hadapan.
“Trauma itu masih ada. Tetapi keinginan untuk mencari pasangan dan membina keluarga tetap wujud. Saya belum mempunyai anak dan saya rasa fasa seterusnya dalam hidup saya adalah memiliki keluarga sendiri.
“Cuma apabila peluang itu datang, saya masih berasa takut. Kadang-kadang apabila ada peluang untuk mengenali seseorang, saya masih cenderung untuk mengundurkan diri.
“Mungkin saya masih belum pulih sepenuhnya. Tetapi saya yakin satu hari nanti saya akan sampai ke tahap itu,” ujarnya.










