Pengacara dan pelakon, Cik Puan Sarimah Ibrahim mengakui setiap kali memilih untuk bersuara secara terbuka di media sosial, dia sedar tindakannya itu berkemungkinan mampu mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman daripada warganet.
Bagaimanapun, menurut Sarimah, keberanian yang ditonjolkan bukan bermaksud dia kebal daripada rasa takut, sebaliknya ia lahir daripada prinsip untuk kekal menjadi diri sendiri dan mempertahankan perkara yang diyakininya benar.
Katanya, berkongsi pandangan secara terbuka bukan sesuatu yang mudah kerana setiap kenyataan pada hari ini boleh ditafsirkan dalam pelbagai sudut oleh pengguna media sosial.
“Berkongsi secara terbuka sebenarnya sangat sukar dan sangat menakutkan. Dari dahulu lagi orang tahu suara saya lantang, tetapi kita kena berani. Itulah diri saya. Saya tidak pernah lari daripada apa orang kata atau apa yang orang panggil sebagai jenama diri.
“Namun, jenama saya tidak pernah dibuat-buat. Kalau saya nampak sesuatu, saya akan bertanya. Dari dahulu lagi memang begitu dan sehingga hari ini saya masih seperti itu.
“Yang susah sekarang ialah kita perlu menyesuaikan diri dengan apa yang boleh dan tidak boleh diperkatakan sedangkan kita hanya mahu menjadi diri sendiri. Persekitaran hari ini sangat berbeza kerana tafsiran orang terhadap apa yang kita cakap terlalu luas.
“Pada usia sekarang, saya tidak boleh terlalu takut dengan apa orang kata. Kita kena yakin dengan diri sendiri. Kita berani kerana kita benar,” katanya.
Mengulas mengenai kecaman yang diterima di media sosial, Sarimah tidak menafikan ada masanya dia turut berasa keliru dengan pelbagai persepsi yang dilemparkan oleh orang ramai.
Namun, katanya, dia memilih untuk berpijak pada realiti dengan mendapatkan pandangan daripada insan yang benar-benar mengenalinya berbanding mempercayai segala-galanya di media sosial.
“Sudah tentu saya terkesan. Kadang-kadang saya juga keliru kerana kita tidak tahu mana yang benar dan mana yang tidak benar di media sosial. Tetapi kita tahu siapa diri kita dan siapa kawan-kawan yang benar-benar berada di depan kita.
“Jadi kita bertanya kepada mereka yang benar-benar mengenali kita sama ada apa yang kita lakukan itu betul atau salah. Kita mencari kebenaran daripada orang yang benar-benar mengenali kita secara bersemuka. Selagi orang tidak bercakap dengan kita secara berdepan, kita tidak boleh terlalu terkesan.
“Kena kuat semangat dan kena kental sedikit. Memang ada masanya kita tertanya-tanya, orang sudah tidak suka kita ke? Tetapi apabila difikirkan semula, tidak mengapa kerana itu adalah putaran hidup. Insya-Allah, rezeki tidak pernah salah alamat,” katanya.

Dulu dan sekarang
Dalam masa sama, Sarimah mengakui budaya media sosial hari ini jauh lebih keras berbanding ketika dia mula membina nama dalam industri hampir tiga dekad lalu.
Menurutnya, perkembangan teknologi menjadikan orang ramai terlalu mudah melepaskan kemarahan tanpa berfikir panjang.
“Sekarang memang jauh lebih kasar. Saya rasa sangat kasihan kepada artis-artis baharu. Dahulu, kalau orang hendak memarahi kita, mereka perlu membeli setem, menulis surat dan pergi ke pejabat pos. Mungkin sebelum surat itu dihantar, mereka sudah sejuk hati dan berubah fikiran.
“Sekarang semuanya berlaku terlalu pantas. Orang marah, terus tulis dan hantar. Tidak ada ruang untuk menekan brek. Dahulu semuanya mengambil masa, jadi orang sempat berfikir. Sekarang semuanya terlalu pantas,” ujarnya.
Ditanya sama ada dia pernah terfikir untuk mengubah pendekatan atau mengikut trend semasa demi kekal relevan, Sarimah berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mampu dilakukannya.
Sebaliknya, dia lebih rela tidak lagi menjadi perhatian daripada berpura-pura demi memenuhi selera masyarakat.
“Sangat susah untuk saya mengikut apa yang orang kata sedang menjadi trend atau apa yang boleh dijual sekarang. Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, suami, keluarga dan rakan-rakan, adakah saya perlu berubah semata-mata kerana hendak menjual cerita tertentu?
“Tetapi saya tidak boleh buat begitu. Saya lebih rela menjadi tidak relevan daripada menjadi seseorang yang berpura-pura. Saya sudah berpegang pada prinsip itu hampir tiga dekad. Semua orang ada cara pemasaran masing-masing dan pendekatan saya hanya satu, iaitu kekal menjadi diri sendiri.
“Jenama diri saya ialah Melayu, Irish, anak Johor dari Batu Pahat, seorang ibu, pelakon dan pengacara. Itulah diri saya dan saya akan terus berpegang kepada perkara itu kerana saya percaya itulah diri saya yang sebenar,” katanya.
Pada masa sama, Sarimah berharap masyarakat dapat membezakan antara kebebasan bersuara dengan adab ketika memberikan pandangan di media sosial.
Katanya, setiap individu berhak mempunyai pendapat sendiri, namun ia perlu disampaikan secara berhemah tanpa melampaui batas.
“Kita cuma perlu tahu bahawa adab itu sangat penting. Jangan terlalu mengikut emosi, jangan kurang ajar dan jangan biadab. Pendapat itu tidak mengapa, kritikan yang membina juga tidak mengapa. Apa yang saya rasa dan apa yang orang lain rasa juga tidak mengapa,” katanya.










