Pengkritik dalam industri muzik ini bukannya membantu tetapi buka banyak lagi ruang untuk dibenci- Aepul Roza - Utusan Malaysia

Pengkritik dalam industri muzik ini bukannya membantu tetapi buka banyak lagi ruang untuk dibenci- Aepul Roza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Aepul Roza tampil menyelar tindakan segelintir pihak yang ligat mengkritik artis semata-mata mahu mengutuk dan bukannya berniat mahu membantu memperbaiki keadaan.

Aepul atau Noor Syaiful Mohd Zalaludin, 38, berkata, mengapa ‘pengkritik’ sebegini hanya sibuk mencari salah apabila artis itu sudah berjaya dan dapat nama, sedangkan pada waktu artis itu sedang bersusah payah membina kerjaya dahulu, kelibat mereka langsung tidak kelihatan.

“Kritikan yang membina sepatutnya sentiasa datang bersama jalan penyelesaian. Namun, ‘pengkritik-pengkritik’ yang saya maksudkan dalam tulisan saya ini pula datang sekadar mahu mengutuk dan menyebarkan kebencian, bukan memberikan jalan penyelesaian.

“Mereka sengaja membuka ruang kebencian hingga dihinggapi kata-kata berbaur dengki terhadap artis yang sedang mendapat perhatian hari ini, sedangkan artis itu sudah ‘berkayuh’ bertahun-tahun untuk sampai ke tahap sekarang. Masa belum berhasil dan masa tengah berkayuh dahulu, mana perginya suara-suara yang suka mengkritik ini?” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Tambah vokalis kumpulan Drama Band ini, dia kecewa kerana tindakan sebegitu hanya memecah-belahkan lagi industri muzik tempatan yang disifatkannya sangat kecil.

“Industri muzik di negara kita ini sudahlah kecil, datang pula ‘pengkritik-pengkritik’ yang memecah-belahkan komuniti yang sudah sedia rapuh ini. Perkara ini memang gila.

“Mereka hanya menawarkan kritikan sahaja dan membuka ruang untuk orang lain membenci. Dapat apa sahaja apabila melakukan perkara macam itu?” katanya

Untuk rekod, Aepul Roza mula mencipta nama dalam industri muzik tanah air selepas menyertai program realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga sebelum terus memikat hati peminat bersama Drama Band menerusi lagu-lagu popular seperti Drama dan Biarkanlah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN