MUA Bellaz utamakan keluarga, belum sedia sertai TTMM - Utusan Malaysia

MUA Bellaz utamakan keluarga, belum sedia sertai TTMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial dan usahawan kosmetik, MUA Bellaz mengakui tanggungjawab sebagai ibu kepada empat cahaya mata menjadi keutamaan dalam kehidupannya ketika ini, sekali gus belum terfikir untuk menyertai mana-mana program realiti termasuk Talk To My Manager (TTMM).

Pemilik nama sebenar Nur Nabila Zulyadaini itu berkata, fokus utamanya ketika berada di rumah adalah membesarkan anak-anak dan memastikan mereka dibesarkan dengan disiplin serta nilai yang baik.

“Setakat ini saya masih sama macam dulu, tetap jadi ‘singa’ di rumah. Bila balik rumah, fokus saya adalah menjadi ibu dan isteri. Anak-anak sekarang memang kena dijaga, terutama dari segi batas dan pergaulan,” katanya.

Bellaz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi wangian Bella Signature di sini, baru-baru ini.

Mengulas desas-desus kononnya dia atau ahli keluarganya bakal menyertai TTMM, Bellaz berkata, dia masih selesa menjalani kehidupan seperti biasa dan belum mempunyai sebarang perancangan ke arah itu.

Dalam pada itu, Bellaz tidak menafikan anak perempuannya, Wara, memiliki personaliti dan bakat yang hampir menyerupainya, namun menegaskan usia anaknya masih terlalu muda untuk terlibat dalam dunia hiburan.

“Memang Wara banyak ikut perangai saya, tapi sekarang dia masih kecil. Saya mahu dia nikmati dulu zaman kanak-kanak sebelum fikir soal kerjaya atau dunia hiburan,” katanya.

Menurut Bellaz, dia dan suaminya, Anuar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat Nuart, turut mengamalkan pendekatan memberi kebebasan kepada anak-anak meneroka kehidupan di kampung.

Katanya, aktiviti seperti bermain bendang, menangkap ikan dan menikmati alam semula jadi memberi pengalaman berharga yang sukar diperoleh dalam kehidupan di bandar.

“Kalau di rumah memang macam-macam mereka buat. Kami bagi mereka ruang untuk bermain dan belajar dengan alam. Kadang-kadang saya pun turut serta,” ujarnya.

Bellaz turut menyifatkan suaminya sebagai seorang ketua keluarga yang tegas dan banyak membantu dalam membuat keputusan berkaitan masa depan anak-anak.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran koleksi wangian Bella Signature hasil kerjasama Bellaz bersama jenama haruman tempatan, Perfume Paradise.

Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, Nur Afiqah berkata, koleksi tersebut menampilkan tiga haruman asli iaitu Vanille Veil, Violet Haze dan Velvet Skin yang dibangunkan dengan identiti tersendiri.

Menurutnya, berbeza dengan rangkaian terdahulu yang diinspirasikan daripada haruman popular di pasaran, Bella Signature dibangunkan sebagai koleksi original dengan karakter tersendiri.

“Setiap wangian mempunyai identiti yang berbeza dan Bellaz sendiri terlibat secara langsung dalam proses pemilihannya,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama selama 11 tahun bersama Bellaz menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan kolaborasi tersebut selain komitmen tinggi yang ditunjukkan personaliti berkenaan sepanjang menjadi duta jenama itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN