Menang atau kalah mereka tetap kecam - Aina Abdul - Utusan Malaysia

Menang atau kalah mereka tetap kecam – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul mengakui dirinya memilih untuk tenang dalam melakukan persiapan pentas berprestij Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) yang bakal berlangsung pada Ogos ini.

Menurut Aina, kali ini dia hanya mahu menjanjikan sebuah persembahan yang lebih santai, namun penjiwaannya dapat dirasai penonton pada malam anugerah berprestij tersebut.

“Sebelum ini, saya sentiasa masuk pertandingan dengan keinginan untuk menang. Kita manusia, sudah tentu ada perasaan mahu menang. Jika dapat Persembahan Terbaik, kita mahu menang Vokal Terbaik juga. Jika sudah menang kategori itu, kita mahu pula menjadi juara.

“Namun kali ini, saya benar-benar merasakan saya tidak masuk untuk bertanding semata-mata. Sebab itu saya lebih relaks. Malah, perbincangan dengan pasukan saya juga tidak terlalu intensif seperti dahulu.

“Dulu kami sangat fokus memikirkan apa yang perlu dilakukan dan berapa bajet yang perlu disediakan. Tetapi santai bukan bermaksud saya tidak membawa apa-apa. Kami tetap menyediakan sesuatu yang istimewa, cuma tunggu dan lihat nanti,” katanya.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharu yang berjudul Berjauhan dan Sadis di sini, petang ini.

Pemenang Vokal Terbaik AJL38 itu bagaimanapun tidak kisah dihentam netizen sekiranya tidak berjaya membawa pulang sebarang trofi pada pertandingan itu nanti.

“Lantakkan sahaja jika mereka ketawa. Bagi saya, menang atau tidak bukan lagi perkara utama. Kalau menang pun ada yang kecam, kalau tidak menang pun tetap ada yang kecam. Tetapi itu tidak menjadi masalah kepada saya. Apa yang penting ialah lagu saya berjaya mara dan saya dapat menyanyikannya di pentas tersebut,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia benar-benar tidak menyasarkan sebarang kemenangan, sebaliknya mahu memastikan vokalnya berada di tahap yang baik.

“Saya okey sahaja jika menang, malah lebih baik jika menang. Tetapi matlamat utama saya sekarang adalah untuk memastikan orang dapat merasai dan menghayati persembahan yang saya bawakan.

“Saya hanya mahu memberikan yang terbaik pada malam itu. Sudah tentu saya mahu memastikan vokal saya berada pada tahap yang terbaik. Sebab itu saya sedang membuat persiapan vokal dan menjaga penggunaan suara supaya tidak berlebihan.

“Sepanjang enam hingga tujuh tahun menyertai pertandingan, saya sentiasa belajar tentang teknik vokal. Jadi sekarang saya sedang mencari cara terbaik untuk mempersiapkan suara agar penyampaian lagu ini menjadi lebih lancar dan sempurna,” ujarnya.

Pada AJL40 nanti, Aina yang telah menyertai pertandingan berprestij itu selama tujuh tahun bakal mempertaruhkan lagu Kamu hasil ciptaan penuh dirinya pada Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN