Luqman Podolski pecah stigma menerusi lagu ‘Ayah’ - Utusan Malaysia

Luqman Podolski pecah stigma menerusi lagu ‘Ayah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan karya sempena Hari Bapa diraikan dengan kisah pengorbanan dan kasih sayang seorang ayah, penyanyi dan pencipta lagu, Luqman Podolski memilih untuk tampil berbeza menerusi single terbaharunya berjudul Ayah.

Dilancarkan bersempena sambutan Hari Bapa hari ini, lagu terbitan Sony Music Malaysia itu mengetengahkan realiti yang jarang dibicarakan secara terbuka iaitu kesan emosi yang ditinggalkan oleh seorang bapa yang gagal memainkan peranan sewajarnya dalam keluarga.

Menurut Luqman, karya ciptaan komposer Kim Manul itu lahir daripada pemerhatian terhadap pengalaman sebenar yang dilalui oleh sebahagian masyarakat, khususnya mereka yang membesar dalam suasana keluarga yang tidak sempurna.

Katanya, walaupun tema tersebut mungkin dianggap sensitif oleh sesetengah pihak, hakikatnya masih ramai individu yang menyimpan luka dan kekecewaan akibat hubungan yang renggang atau bermasalah dengan figura seorang ayah.

“Tidak semua orang mempunyai pengalaman indah bersama ayah mereka. Ada yang membesar dengan luka, kekecewaan dan kenangan yang sukar dilupakan.

“Lagu ini bukan bertujuan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi memberi ruang kepada mereka yang pernah melalui pengalaman tersebut untuk merasa didengari,” katanya.

Jelas Luqman, muzik seharusnya menjadi medium untuk menyampaikan pelbagai kisah kehidupan dan tidak terhad kepada tema-tema yang bersifat positif semata-mata.

Sebaliknya, seni juga mempunyai peranan penting dalam merakam realiti kehidupan termasuk konflik emosi, cabaran kekeluargaan serta pengalaman pahit yang membentuk perjalanan seseorang individu.

Pendekatan tersebut bukanlah sesuatu yang asing dalam industri muzik antarabangsa apabila ramai artis terkenal dunia, khususnya dalam genre hip hop dan rap, sering menggunakan karya mereka sebagai platform untuk meluahkan perasaan selain membincangkan isu sosial yang kurang mendapat perhatian umum.

Melalui Ayah, Luqman berharap karya tersebut mampu membuka ruang perbincangan yang lebih luas mengenai isu kekeluargaan yang sering dipendam serta jarang diketengahkan dalam masyarakat.

Pada masa sama, lagu itu turut menjadi suara kepada mereka yang pernah melalui pengalaman serupa agar tidak berasa keseorangan dalam berdepan kenangan dan emosi yang masih membekas.

Single Ayah kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN