Kumpulan heavy metal wanita Jepun, 'Lovebites' sedia gegar Malaysia - Utusan Malaysia

Kumpulan heavy metal wanita Jepun, ‘Lovebites’ sedia gegar Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Demam muzik heavy metal bakal melanda ibu negara apabila kumpulan wanita sensasi dari Tokyo, Jepun, ‘Lovebites’ disahkan bakal mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia tidak lama lagi.

Aksi bertenaga kumpulan yang telah membina empayar muzik global selama hampir sedekad itu dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober depan bertempat di Zepp Kuala Lumpur menerusi siri jelajah ‘Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur’.

Kehadiran kumpulan virtuoso ini dibawakan khas oleh penganjur Rockstage Entertainment, sekali gus menamatkan penantian panjang komuniti peminat metal tempatan yang selama ini sekadar mengikuti perkembangan mereka menerusi platform digital dan album fizikal.

Lovebites

Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, ‘Lovebites’ yang mempertaruhkan genre ‘power’, ‘speed’ dan ‘melodic’ metal berjaya meruntuhkan dominasi kaum lelaki dalam arena berkenaan menerusi keupayaan teknikal bertaraf dunia.

Kumpulan yang dianggotai oleh Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar/keyboard), Fami (bass), dan Haruna (dram) ini turut memahat sejarah apabila pernah memenangi anugerah ‘Best New Band’ di Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom, selain pernah beraksi di festival gergasi dunia seperti ‘Wacken Open Air’ dan ‘Download Festival’.

Menurut Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman, penganjuran konsert ini merupakan respons kepada permintaan luar biasa daripada peminat tegar genre tersebut di Malaysia.

“Kami sudah lama merancang projek ini. ‘Lovebites’ bukan sekadar sebuah kumpulan muzik wanita biasa, tetapi merupakan satu fenomena global yang mempunyai pengaruh yang sangat besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, satu sistem produksi berskala penuh merangkumi aspek sistem bunyi dan pencahayaan terbaik sedang dirancang bagi memastikan penonton mendapat pengalaman audio visual yang setanding dengan siri jelajah mereka di Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, beliau melihat kesediaan artis antarabangsa seperti ‘Lovebites’ untuk datang ke sini sebagai isyarat positif bahawa pasaran dan komuniti muzik rock serta metal di Malaysia sentiasa dipandang tinggi.

Sepanjang penglibatan dalam industri, ‘Lovebites’ telah melahirkan rangkaian album dinamik yang menerima pujian meluas termasuk ‘Awakening From Abyss’, ‘Electric Pentagram’, ‘Judgement Day’ dan ‘Lovebites EP II’.

Pada konsert itu nanti, para peminat tempatan dijangka bakal dihidangkan dengan barisan lagu popular sedia ada seperti ‘Holy War’, ‘When Destinies Align’, ‘Shadowmaker’ dan ‘We The United’.

Urusan pembelian tiket bagi menyaksikan malam bersejarah ini boleh dibuat secara dalam talian melalui saluran ‘MyTicket Empire’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN