PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir mengakui mengenakan jenama mewah bukanlah pengukur keanggunan keperibadian seseorang.
Kata Anzalna, meskipun auranya berbeza apabila mengenakan pakaian berjenama mewah yang asli, perkara itu belum tentu cukup untuk menjadikan seseorang itu anggun secara luaran serta dalamannya.
“Orang yang biasa memakai jenama mewah selalunya dapat mengenal pasti sama ada sesuatu barangan itu asli atau tiruan.
“Saya tidak menghakimi sesiapa pun, tetapi memakai barangan asli memang memberikan rasa yang berbeza. Namun, pada akhirnya, keanggunan bukan terletak pada jenama,” katanya menerusi sebuah hantaran Threads.
Anzalna menyifatkan kemewahan seseorang itu lebih terserlah apabila tampil dengan keyakinan diri serta adab yang baik biarpun tidak mengenakan sebarang jenama mewah.
“Sayang, walaupun anda tidak memakai barangan mewah, jika anda memakainya dengan penuh keyakinan, orang tetap akan perasan.
“Keyakinan diri, adab yang baik dan cara anda membawa diri akan sentiasa lebih menyerlah daripada sebarang jenama sekalipun,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah menerima pelbagai reaksi dari netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan pelakon drama Memori Cinta Suraya itu.










