Kalau tidak jaga eksklusiviti, harga artis itu akan 'jatuh' - Naqiu - Utusan Malaysia

Kalau tidak jaga eksklusiviti, harga artis itu akan ‘jatuh’ – Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Naqiu, 40, mengakui sengaja memperlahankan kemunculannya dalam industri hiburan kerana mahu menjaga nilai eksklusiviti diri selain memastikan setiap penampilan mempunyai tujuan yang jelas.

Menurut Naqiu atau nama sebenarnya,Wan Naqiuddin Mohd Najib, sejak kembali aktif dalam industri pada 2019, dia banyak mempelajari strategi terbaik untuk menguruskan kerjaya agar tidak terlalu kerap muncul sehingga menimbulkan rasa jemu dalam kalangan peminat.

“Saya rasa sejak saya comeback pada 2019, sekarang dah masuk tahun yang ketujuh. Saya belajar satu perkara iaitu keluar apabila perlu, keluar apabila ada benda untuk diceritakan dan keluar apabila ada produk baharu untuk dilancarkan.

“Saya juga belajar untuk menjaga eksklusiviti. Kalau saya selalu muncul, terutama untuk perkara yang tidak begitu penting, saya rasa ia akan jadi terlalu biasa. Kemudian akan sentiasa ada cerita-cerita picisan dan saya dah tak suka perkara macam itu sekarang.

“Bila ada masa lapang, saya lebih suka habiskan masa dengan keluarga dan buat kerja-kerja di belakang tabir. Saya masih menulis lagu dan membantu beberapa peserta yang menyertai pertandingan. Itulah sebenarnya aktiviti saya sepanjang setahun kebelakangan ini,” katanya.

Naqiu berkata demikian ketika ditanya mengenai kerjayanya yang dilihat agak perlahan kebelakangan ini sehingga menimbulkan tanggapan dia kurang aktif dalam industri.

Menurut penyanyi lagu Episod Cinta itu, fokusnya pada tahun lalu lebih terarah kepada penyertaan dalam dua pertandingan nyanyian sehingga menyebabkan dia hanya sempat melancarkan sebuah lagu.

“Kalau perasan, tahun lepas saya hanya keluarkan satu lagu sebab fokus saya ketika itu hanyalah untuk mengambil angin sebelum bertanding semula. Saya masuk dua pertandingan tahun lepas.

“Tahun ini pula saya tak ada apa yang nak diceritakan, jadi saya memilih untuk diam sementara merangka apa yang akan dikeluarkan. Insya-Allah bermula bulan depan akan ada lebih daripada satu lagu,” katanya.

Mengulas dakwaan segelintir pihak yang menganggap dirinya sudah tidak lagi relevan kerana jarang membuat persembahan di televisyen, Naqiu berkata, dia memahami persepsi tersebut namun percaya setiap kemunculan perlu dirancang dengan teliti.

“Saya faham sebab kalau saya bukan orang industri pun, mungkin saya akan beranggapan macam itu juga. Tetapi tahun lepas saya masuk dua pertandingan dan sepanjang tiga hingga empat bulan itu, setiap minggu muka saya ada di TV.

“Kalau tahun ini saya buat benda yang sama, akan timbul pula tanggapan lain seperti tak ada orang lain ke atau semua benda dia nak cuba? Jadi kita kena sedar ruang dan tahu bila nak ambil ruang. Tak boleh selalu muncul kerana eksklusiviti kita akan hilang.

“Dan jujurnya, kalau kita selalu keluar, harga kita akan jatuh. Percayalah, harga kita jatuh. Saya seorang penyanyi yang dah bermula lama. Orang masih mahu mendengar lagu-lagu saya sejak zaman Boboy. Kalau saya keluar hari-hari atau setiap minggu dengan lagu baharu sekalipun, akhirnya orang tetap akan minta saya nyanyikan Episod Cinta,” ujarnya.

Tambah Naqiu, strategi tersebut turut disusun bersama pasukannya yang memilih untuk menangguhkan pelancaran karya baharu sehingga pertengahan tahun.

“Alhamdulillah, pasukan saya merancang perkara itu dengan baik. Tahun lepas kita banyak muncul, tahun ini kita relaks sedikit. Biasanya setiap tahun sekitar bulan Mac saya keluarkan lagu, tetapi tahun ini kita tangguhkan.

“Bermula bulan Julai nanti, barulah kita keluarkan ‘senjata-senjata’ yang dah disimpan lebih kurang setahun,” katanya.

Dalam pada itu, Naqiu mengakui strategi menjaga eksklusiviti tetap mempunyai risiko, namun dia percaya hubungan yang dibina bersama peminat selama ini menjadi kekuatan terbesar untuk terus kekal relevan.

“Saya faham memang ramai orang yang menjaga eksklusiviti, tetapi bila mereka nak keluar semula, orang dah lupa. Cuma satu kelebihan saya ialah saya bermula sejak zaman Boboy. Nama Boboy itu dah melekat. Walau macam mana pun perjalanan saya atau lagu apa yang saya keluarkan, akhirnya orang tetap akan ingat Episod Cinta.

“Bila saya jarang muncul, contohnya tiga bulan tak keluar, tiba-tiba orang dengar semula Episod Cinta, mereka akan rasa nostalgianya lagu itu. Saya rasa rakan-rakan seangkatan saya pun mengalami perkara yang sama. Kita tak boleh selalu muncul sebab kalau selalu keluar, harga kita akan jatuh.

“Sebenarnya saya juga berjudi dengan nasib. Tetapi dalam masa yang sama, saya percaya dengan apa yang saya dah bina selama tujuh tahun ini. Saya juga sangat percaya kepada peminat-peminat saya sebab setiap hari kami berkomunikasi di media sosial.

“Perkataan legenda itu terlalu tinggi untuk saya. Tetapi saya boleh katakan nostalgia yang kami bina itu dah melekat dalam hati dan fikiran peminat serta pendengar saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN