Kadang-kadang ada saja pelakon baharu yang kejutan budaya - Arash Mohamad - Utusan Malaysia

Kadang-kadang ada saja pelakon baharu yang kejutan budaya – Arash Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon, Arash Mohamad mengakui dirinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan pelakon baharu menerusi drama Ikatan Terlarang.

Memegang watak sebagai Harun atau Abi, Arash berkata, dirinya senang dan gembira dapat berkongsi skrin yang sama dengan barisan pelakon drama arahan Riza Baharudin itu.

“Saya sangat bersyukur dan gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Saya dikelilingi oleh pelakon-pelakon yang sangat berdisiplin dan komited terhadap watak masing-masing.

“Bila masuk ke set, kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Pengarah pula banyak memberi ruang untuk kami perbaiki gaya lakonan, sama ada mahu tonjolkan emosi lebih atau kurang sedikit. Semua pelakon memang terbaik.

“Bila hubungan sesama pelakon baik seperti sebuah keluarga, suasana di set juga jadi lebih menyeronokkan. Selama tiga bulan kita berjumpa orang yang sama setiap hari, jadi hubungan yang baik itu sangat penting,” katanya ketika ditemui di program MeleTOP, Selasa lalu.

Tambah Arash, dia juga seronok dapat saling bertukar pandangan dan idea bersama pelakon baharu meskipun dirinya jauh lebih berpengalaman dalam bidang lakonan.

“Saya gembira kerana pada saya, saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja. Kadang-kadang pengalaman saya lebih lama daripada mereka, tetapi idea-idea daripada orang muda juga banyak membantu. Kami saling berkongsi idea dan saling menyokong.

“Tak kira sama ada awak pelakon baharu atau lama, asalkan awak faham watak dan buat persediaan, itu sudah memadai. Kita boleh jadi rakan kerja yang baik.

“Kalau ada pelakon yang suka berlagak atau menyusahkan orang lain, memang penat. Berlakon pun sudah penat, ditambah pula dengan perangai seperti itu,” jelasnya.

Ditanya sama ada dirinya pernah bertemu dengan pelakon baharu yang bermasalah dari segi kelakuan, Arash memaklumkan dirinya lebih selesa tidak memanjangkan isu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak produksi untuk selesaikannya dengan profesional.

“Saya sudah hampir 35 tahun berada dalam industri, jadi macam-macam perangai manusia saya sudah jumpa. Kalau ada masalah, saya lebih suka bercakap dengan sumber yang tepat seperti Pengarah Projek.

“Saya tidak suka melibatkan pengarah kalau perkara itu boleh diselesaikan secara baik. Kadang-kadang pengarah sendiri boleh nampak kalau ada sesuatu yang tidak kena.

“Sama ada pelakon baharu atau lama, kalau ada masalah sikap memang akan mengganggu perjalanan penggambaran. Bukan apa, kadang-kadang ada saja pelakon baharu yang ‘culture shock’ atau kejutan budaya,” kongsinya.

Arash bagaimanapun mengakui kagum dengan sikap sesetengah pelakon baharu yang memiliki budi pekerti yang baik dan berdisiplin apabila di lokasi penggambaran.

“Saya dulu belakon bermula dari bawah. Sekarang lebih mudah kerana adanya platform media sosial seperti TikTok. Saya anggap lokasi penggambaran ini adalah tempat kerja setiap pelakon.

“Saya suka melihat pelakon muda yang datang ke set dengan adab. Bersalaman dan beramah mesra sebelum mula penggambaran. Pada saya, itu perkara yang sangat penting.

“Ada juga yang datang ke set, buat ‘live’ dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain sedangkan semua sedang menunggu mereka. Prinsip saya mudah.

“Saya lebih rela saya menunggu 10 orang daripada 10 orang menunggu saya seorang sebab itu saya sentiasa cuba datang awal. Saya bukan kata saya paling baik, tetapi itulah prinsip yang saya pegang,” ujarnya.

Selain Arash, drama Ikatan Terlarang itu turut dibintangi Hisyam Hamid, Erysha Emyra, Raja Azura, Mawar Rashid, Alif Hadi dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN